Melaka perlu RM53 juta laksana dua projek atasi banjir

Kerajaan negeri Melaka memerlukan peruntukan kira-kira RM53 juta bagi melaksanakan dua projek mengatasi isu banjir berulang.
Kerajaan negeri Melaka memerlukan peruntukan kira-kira RM53 juta bagi melaksanakan dua projek mengatasi isu banjir berulang.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka memerlukan peruntukan kira-kira RM53 juta bagi melaksanakan dua projek mengatasi isu banjir berulang di kawasan Sungai Putat melibatkan Kolam Tadahan Banjir Sungai Putat di sini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Kamel Mohamad berkata, dua projek berkenaan melibatkan kerja-kerja membina tembok cerucuk keping konkrit dan meluaskan kolam tadahan berkenaan yang akan dilaksanakan secara berperingkat selepas mendapat peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

"Pelaksanaan dua projek ini melibatkan pendekatan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan isu banjir di Sungai Putat yang berpunca daripada kolam tadahan di sini dapat diatasi.

"Kita telah memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan dua projek ini dan kerajaan negeri berharap ia mendapat kelulusan segera," katanya ketika ditemui pemberita ketika meninjau kolam tadahan itu di sini pada Khamis.

Beliau berkata, setakat ini, kerajaan negeri telah meluluskan RM500,000 bagi membina tembok cerucuk keping konkrit sepanjang 72 meter di tepi kolam tadahan berkenaan dengan ketinggian 0.5 meter sebagai pendekatan jangka pendek mengatasi isu berkenaan dan dijangka siap pada Disember ini.

Katanya, bagi usaha jangka sederhana pula, tembok cerucuk keping konkrit sepanjang 500 hingga 600 meter akan dibina di tepi kolam berkenaan melibatkan peruntukan kira-kira RM2.5 juta.

Kamel berkata, kolam tadahan berkenaan perlu diluaskan kepada 30 hektar berbanding keluasan sedia ada iaitu 8.2 hektar bagi memastikan air hujan yang ditadah di kolam berkenaan tidak melimpah keluar ke jalan raya seterusnya menyebabkan banjir berlaku di kawasan perumahan di kampung tersebut terutama apabila hujan lebat dalam tempoh yang lama.

"Kolam ini perlu diluaskan lagi sebanyak 21.8 hektar dan kos melaksanakan kerja-kerja ini dianggarkan kira-kira RM50 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sungai Putat merupakan antara kawasan yang sering dilanda banjir di negeri ini sekiranya hujan lebat dalam tempoh yang lama dan pada tahun ini sahaja, lebih tiga kali banjir kilat berlaku di kawasan berkenaan setakat Khamis. - Bernama