Selangor peruntuk RM2.19 juta basmi kemiskinan

V Ganabatirau
V Ganabatirau
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM2.19 juta untuk program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dalam tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini.

Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau berkata, dalam tempoh tersebut, seramai 529 penerima mendapat manfaat dana peruntukan itu menerusi pemberian peralatan bantuan perniagaan.

“Secara keseluruhan, sejak tahun 2008 hingga Ogos lalu, seramai 5,035 peniaga berjaya dibantu menerusi program ini dengan peruntukan lebih RM16.6 juta.

“Pelbagai inisiatif diambil kerajaan negeri dengan merangka program-program bantuan yang dapat menjana pendapatan dan tidak mengabaikan sosioekonomi rakyat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Pada Khamis, Ganabatirau menyerahkan sumbangan mesin jahit kepada Nur Faralia Mohammad Hafiz di kediaman penerima berkenaan di Kuarters Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.

Sementara itu, Ganabatirau berharap mereka yang menerima bantuan berkenaan dapat memanfaatkan bantuan tersebut untuk bangkit semula selepas pandemik Covid-19.

Menurutnya, pandemik Covid-19 mengakibatkan pendapatan dan perniagaan rakyat terjejas, malah beliau amat berharap dengan adanya bantuan seperti itu dapat dijadikan sebagai punca pendapatan.

Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor bermula sejak tahun 2008 dengan membantu penerima menerusi pemberian peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Artikel Berkaitan: