Gejala rasuah di Malaysia sukar diperangi

Syed Saddiq. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Syed Saddiq. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah rasuah di negara ini sukar diperangi dan akan berterusan walaupun kerajaan bersilih ganti sekiranya para pemimpin tiada keberanian untuk merombak sistem politik.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, jalan terbaik yang perlu dilakukan ialah merombak sistem demokrasi di Malaysia untuk menentang rasuah.

Beliau berkata, masalah berlaku apabila kuasa politik datang dengan kontrak-kontrak yang besar.

Menurutnya, kontrak yang dibuat tanpa tender misalnya menjadikan sistem kerajaan menjadi tidak telus sehingga hilang manfaatnya terhadap kerajaan dan rakyat.

"Idealnya bagi Malaysia jika kita dapat mengaplikasikan sistem demokrasi pengasingan kuasa supaya apabila wujudnya perubahan kerajaan 10 atau 20 tahun sekalipun, mana-mana ahli atau pemimpin politik tidak akan berani untuk berkecimpung dalam dunia rasuah.

"Ini kerana mereka tahu mereka akan ditangkap kerana sistem pengasingan kuasa itu sangat kuat, rakyat cakna dalam menolak rasuah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Malaysia Bebas Rasuah: Berangan Tak Sudah?’ menampilkan (dari kiri) Nurhayati, Syed Saddiq, Steven Sim dan Ming Khai yang berlangsung di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
Program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Malaysia Bebas Rasuah: Berangan Tak Sudah?’ menampilkan (dari kiri) Nurhayati, Syed Saddiq, Steven Sim dan Ming Khai yang berlangsung di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Malaysia Bebas Rasuah: Berangan Tak Sudah?' yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian pada Rabu.

Program dikendalikan Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin itu turut menampilkan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai sebagai panelis.

Syed Saddiq bagaimanapun tetap optimis dengan masa hadapan negara kerana melihat kesedaran rakyat sudah sampai ke tahap yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

"Saya berharap kesedaran itu akhirnya akan menyebabkan ahli dan parti politik sedar bahawa gelombang banteras rasuah ini sangat besar. Jika mereka gagal untuk mengadaptasi dengan perubahan ini, akhirnya mereka akan dikeluarkan (diketepikan).

"Kita kena fokus ke hadapan untuk membebaskan Malaysia daripada rasuah iaitu dengan melakukan perubahan sistem yang total. Jika tidak ada keberanian politik daripada atas ke bawah, agak sukar untuk kita maju ke hadapan.

"Ini adalah jalan di mana kita menggembleng tenaga rakyat, penguat kuasa, sistem demokrasi yang utuh, pemimpin dan parti politik yang telus. Apabila kita bersama-sama dalam menentang rasuah, di situlah jalan terbaik untuk kita membebaskan negara daripada rasuah," ujar beliau.