Najis pada dulang doh, kilang roti diarah tutup

Najis tikus ditemui di antara dulang meletak doh roti di kilang roti di Raja Uda, Butterworth.
Najis tikus ditemui di antara dulang meletak doh roti di kilang roti di Raja Uda, Butterworth.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Sebuah kilang memproses roti diarahkan tutup selama dua minggu selepas pemeriksaan dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) mendapati terdapat najis tikus di premis berkenaan.

Kilang yang terletak di Raja Uda, Butterworth itu juga didapati tidak mengamalkan prosedur penjagaan makanan yang telah siap apabila membiarkan roti terbiar di tempat terbuka.

Najis tikus itu ditemui ketika satu serbuan dilakukan oleh 26 anggota dan pegawai dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang serta Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada jam 10 pagi Khamis.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata, najis tikus berkenaan ditemui di celah dulang yang digunakan untuk meletakkan doh roti yang sudah siap diuli.

Menurutnya, selain itu, kilang yang beroperasi sejak enam tahun itu juga tidak mempunyai stor penyimpanan bahan mentah.

"Kilang ini telah dipantau sejak kita membuat operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tiga ke empat minggu lalu dan hanya diberi nasihat berkaitan SOP sahaja.

Artikel Berkaitan:

Salah seorang pegawai JKNPP menunjukkan dulang tempat meletak doh roti yang diselaputi minyak tebal dan kotor.
Salah seorang pegawai JKNPP menunjukkan dulang tempat meletak doh roti yang diselaputi minyak tebal dan kotor.

"Selain pemantauan SOP, kita juga memantau tahap kebersihan premis ini dan pada pemeriksaan hari ini mendapati banyak najis tikus yang masih baharu berdasarkan najis berkenaan yang masih lembab," katanya selepas Ops Bersih di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dulang tempat meletak doh roti itu juga diselaputi minyak yang tebal dipercayai tidak dicuci.

"Lapisan pada dulang bertingkat itu diselaputi minyak lama yang tebal dan apabila ia dimasukkan ke dalam ketuhar, minyak itu akan mencair lalu menitik ke atas roti.

"Kita mengeluarkan empat kompaun bernilai RM3,000 termasuk notis penutupan premis selama dua minggu kerana terlalu kotor mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983," ujarnya.

Dalam operasi sama, sebuah kilang memproses kicap di Bagan Ajam turut diarahkan tutup selepas didapati kotor selain tidak mengamalkan aspek kebersihan yang ditetapkan.

Mohd Wazir menunjukkan bahan asing iaitu bulu burung yang ditemui di dalam bekas gentian kaca di kilang kicap di Bagan Ajam.
Mohd Wazir menunjukkan bahan asing iaitu bulu burung yang ditemui di dalam bekas gentian kaca di kilang kicap di Bagan Ajam.

Mohd Wazir berkata, kilang kicap yang beroperasi sejak 50 tahun lalu itu juga didapati menggunakan bekas gentian kaca (fiber) yang berusia 20 tahun.

"Pemeriksaan di premis itu mendapati, pemilik kilang menggunakan bekas gentian kaca yang usang untuk perapan kacang soya, selain ada beberapa struktur bekas terbabit didapati telah pecah dan mereput.

"Kita risau berlaku pencemaran fizikal sekiranya gentian kaca itu pecah, ia akan termasuk ke dalam perapan kacang soya tersebut dan boleh menyebabkan keracunan.

"Selain itu, kita turut menemui ranting kayu, daun kering dan bulu burung di dalam perapan terbabit. Keadaan ini jelas menunjukkan pemilik kilang tidak menitik beratkan aspek kebersihan dalam memproses kicap," katanya.

Jelasnya, selain itu, pemilik kilang juga didapati menggunakan botol plastik kitar semula yang dikhuatiri tercemar berikutan proses pembersihan botol tidak dijalankan dengan betul.

Mohd Wazir menunjukkan fungus yang ditemui pada pelapik plastik tempat pengeringan kacang soya di kilang memproses kicap.
Mohd Wazir menunjukkan fungus yang ditemui pada pelapik plastik tempat pengeringan kacang soya di kilang memproses kicap.

"Pemeriksaan di belakang premis mendapati, pekerja kilang hanya membasuh secara manual, mengeluarkan pelekat pada botol dan meletakkan kesemua botol yang hendak dikitar semula di tempat tidak bersih, malah persekitarannya juga kotor.

"Kita bimbang ia akan menyebabkan pencemaran pada semua botol berkenaan. Lebih membimbangkan, kita menemui najis cicak pada plastik yang digunakan untuk menutup botol yang telah dibasuh," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemeriksaan pada plastik pelapik yang digunakan untuk pengeringan kacang soya juga tercemar apabila wujudnya fungus.

"Sekiranya terdapat fungus, ini bermakna pemilik tidak mencuci plastik pelapik setelah digunakan dan ia diguna pakai berulang kali.

"Fungus ini amat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan keracunan makanan sehingga membawa maut," katanya.

Mohd Wazir berkata, pihaknya mengeluarkan lima kompaun bernilai RM5,000 dan notis penutupan selama dua minggu terhadap kilang berkenaan.

Tambahnya lagi, kedua-dua premis tersebut tidak mengamalkan aspek kebersihan mengikut piawaian di bawah Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).