'Guna kabel internet, bukan kabel politik'

Steven Sim. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Steven Sim. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Pemusatan kuasa yang melampau di tangan ahli politik menjadi punca gejala rasuah terus berleluasa di negara ini.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, institusi kerajaan perlu diperkasakan agar rakyat tidak terlalu bergantung kepada orang kenamaan untuk mendapatkan kelulusan sesuatu projek.

"Seharusnya kalau nak mohon bantuan kebajikan, rakyat perlu terus pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Nak dapatkan projek kerajaan pergi ke laman web tender terbuka, masuk tender guna kabel internet dan bukan kabel politik.

"Sekarang ini, kalau nak minta bantuan, biasiswa atau sebagainya masih lagi kena dapatkan cop ketua kampung, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen yang akan menyumbang kepada masalah rasuah.

"Budaya ini kita perlu kurangkan dan perkasakan institusi kerajaan yang terlibat agar salah laku rasuah ini dapat dibendung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Malaysia bebas rasuah: Berangan tak sudah? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Rabu.

Dalam program yang dikendalikan oleh Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin, turut menjadi panelis ialah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau percaya rasuah di negara ini boleh dibendung sekiranya dapat memperbaiki sistem dalam badan pentadbiran kerajaan.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan turut mengambil contoh kejayaan rekod tender terbuka yang dibuat ketika beliau bersama Syed Saddiq di kementerian tersebut.

"Dalam masa setahun ketika pegang kementerian, kita dapat laksanakan pembaharuan.

Ketika kita buat lima langkah integriti di KBS dahulu, kena buat open tender.

Mulanya saya tidak begitu yakin.

"Selepas kita (PH) jatuh, Menteri Kewangan Perikatan Nasional, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dedahkan hanya satu bukan tender terbuka di KBS.

"Maknanya kita pernah lebih baik dan kita mampu melakukannya," katanya.