Bomba hantar 60,000 liter air ke Chini

Anggota bomba membantu mengisi air ke dalam bekas dibawa penduduk.
Anggota bomba membantu mengisi air ke dalam bekas dibawa penduduk.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang menghantar 60,000 liter air ke gugusan Felda Chini dekat sini, bagi membantu penduduk yang berdepan masalah kekurangan bekalan air berikutan musim kemarau.

Pengarah JBPM Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, pihak JBPM dengan kekuatan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan telah menggerakkan sebuah jentera dan tangki berkapasiti 20,000 liter ke lokasi tersebut sehingga jam 3 petang ini.

“Kita bermula kira-kira jam 9 malam tadi dan berada di sana sehingga jam 2 pagi untuk menghantar bekalan air. Hari ni hantar lagi sebanyak dua kali menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 60,000 liter air dibekalkan kepada penduduk.

“Dengan kekuatan anggota yang kita ada, Insya-ALLAH bekalan akan diteruskan sehingga musim kemarau berakhir. Pada masa sama bomba masih lagi bersedia dengan situasi kebakaran hutan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

No Image Caption

Sementara itu, Ketua Balai dan Penyelamat Pekan, Penolong Penguasa Bomba Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, penghantaran bekalan air membabitkan lokasi di Bandar Dara Chini dan Felda Chini 5.

“Tempoh penghantaran akan merujuk arahan semasa daripada Pengarah negeri. Cuma ingin saya mengingatkan kepada penduduk bahawa air yang dibekalkan itu diambil dari pili bomba justeru ia perlu dimasak terlebih dahulu. Jangan minum secara terus.

“Apabila ambil air hendaklah bersabar dan tidak perlu berebut. Kita akan bantu untuk memenuhi keperluan dengan kekuatan logistik dan anggota yang ada. Sumber air ini daripada pili balai dengan buat pengisian penuh,” katanya.

Artikel Berkaitan: