X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

278 anak orang asli terima bantuan persekolahan

Mohd Nizar menyampaikan bantuan persekolahan kepada seorang murid orang asli pada Program Mara Prihatin Bersama Masyarakat Orang Asli di Surau Pos Kuala Mu, di sini pada Selasa.
A
A

SUNGAI SIPUT - [DIKEMASKINI] Yayasan Pelajaran Mara (YPM) pada Selasa menyampaikan bantuan persekolahan kepada 278 anak orang asli di Kampung Pos Kuala Mu, di sini sebagai persediaan persekolahan pada 22 November depan.

Pengerusi Eksekutif YPM, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin berkata, sumbangan itu kali pertama dilaksanakan yayasan berkenaan bersama masyarakat orang asli tahun ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan sumbangan ialah RM13,900 yang diharap dapat mengurangkan beban mereka menjelang pembukaan semula sesi persekolahan nanti.

"Sebelum ini kita sudah menyerahkan bantuan persekolahan kepada 44,400 pelajar di semua negeri," katanya kepada pemberita selepas Program Mara Prihatin Bersama Masyarakat Orang Asli di Surau Pos Kuala Mu, di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) Perak, Lailatul Asmah Mohd Tahir dan Pengarah GiatMara Perak, Jamaluddin Ali.

Mohd Nizar berkata, sumbangan bantuan persekolahan yang diberikan kepada pelajar terpilih seluruh negara sebelum ini membabitkan peruntukan RM2.6 juta tetapi tidak termasuk sumbangan kepada anak-anak orang asli di Kampung Pos Kuala Mu.

Jelas beliau, YPM turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada dua mangsa kebakaran di kampung berkenaan selain sumbangan RM1,000 untuk Surau Pos Kuala Mu bagi pembangunan pendidikan setempat.

Beliau berkata, pemberian sumbangan tersebut merupakan sebahagian Program Mara Prihatin yang bertujuan menyantuni masyarakat orang asli khususnya di Perak.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nizar berkata, YPM merancang membuat tawaran baharu beberapa program melibatkan pasca pandemik termasuk program tuisyen untuk anak-anak di kawasan pedalaman dan luar bandar.

"InsyaALLAH, kita akan teruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sesuai dengan pasca pandemik ini," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!