ADUN Jeram agih 2,000 siakap percuma Sabtu ini

Kenyataan Mohd Shaid di Facebook beliau pada Selasa berhubung program pemberian ikan siakap secara percuma. (Kanan) Gambar hiasan.
Kenyataan Mohd Shaid di Facebook beliau pada Selasa berhubung program pemberian ikan siakap secara percuma. (Kanan) Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli menyediakan sebanyak 2,000 ekor ikan siakap untuk diberikan secara percuma kepada penduduk pada Sabtu ini.

Mohd Shaid berkata, setakat ini seramai 683 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram telah dipilih secara rawak untuk mendapatkan ikan percuma tersebut.

Beliau berkata, baki daripada jumlah tersebut pula akan diagihkan kepada penduduk bukan pengundi dalam kalangan golongan memerlukan serta sukarelawan di DUN terbabit.

"Insiatif ini diusahakan memandangkan rakyat sudah lama tidak dapat keluar rumah akibat pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Saya berbesar hati menyumbangkan ikan siakap percuma kepada penduduk di DUN ini kerana kita tahu kemampuan kewangan rata-rata penduduk terhad lebih-lebih lagi kawasan ini terletak di luar bandar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Mohd Shaid berkata, sebanyak RM20,000 diperuntukkan pihaknya untuk membeli ikan siakap tersebut secara borong di sebuah pasar raya terpilih.

Menurutnya, penduduk yang terpilih untuk mendapatkan ikan siakap itu akan dihubungi dalam waktu terdekat untuk mendapatkannya di Pejabat ADUN Jeram di Puncak Alam pada Sabtu ini.

"Kita akan memanggil mereka yang terpilih mengikut susunan huruf pada nama bagi mengelakkan kesesakan.

Artikel Berkaitan:

"Kita menjangkakan program bermula dari jam 9 pagi ini berlangsung selama dua jam mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," ujar beliau.