Lawan arus elak ditahan polis

Mohd Taib
Mohd Taib
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki nekad memandu melawan arus ketika cuba melarikan diri selepas dikejar polis dalam satu kejadian di Skudai, petang semalam.

Difahamkan, aksi mengejar bermula apabila suspek berusia 42 tahun itu bertindak melarikan diri apabila polis minta memberhentikan kenderaannya ketika sedang menyusuri Jalan Danga Utama, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 petang itu, polis menggunakan pembesar suara sebanyak tiga kali untuk memohon suspek berhenti daripada terus melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, suspek akhirnya berjaya ditahan selepas terperangkap dalam kesesakan jalan raya di Jalan Sutera Danga.

"Ketika diminta berhenti, suspek melarikan diri dengan memandu melawan arus masuk ke Jalan Sutera Danga, Jalan Skudai, Jalan Skudai Lama, Jalan Titiwangsa Utama dan kembali semula ke Jalan Skudai.

"Suspek juga didapati memandu dalam keadaan agresif dan hampir melanggar beberapa kenderaan awam. Sebelum diberkas, suspek juga sempat melanggar kereta peronda polis kerana telah terperangkap," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Taib berkata, pemeriksaan dilakukan dalam kenderaan suspek kemudiannya menemui sejumlah dadah bersama sepucuk pisau.

"Kita menemui sebilah pisau dengan ukuran panjang 22 sentimeter bersama satu paket dadah dipercayai ganja seberat 8.33 gram yang disorokkan dalam kereta tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga menemui satu paket bahan hablur kristal disyaki syabu seberat 11.22 gram ketika melakukan pemeriksaan lanjut," katanya.

Beliau berkata, suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau bersabit kes dadah.

"Suspek akan diminta perintah reman di mahkamah untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.