Serba Dinamik fail saman pemula terhadap Bursa Malaysia

Serba Dinamik Holdings Bhd memfailkan saman tersebut pada 3 November lepas menamakan Bursa Malaysia sebagai defendan tunggal.
Serba Dinamik Holdings Bhd memfailkan saman tersebut pada 3 November lepas menamakan Bursa Malaysia sebagai defendan tunggal.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Serba Dinamik Holdings Bhd (SDHB) telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi terhadap Bursa Malaysia mendakwa pengendali bursa tempatan itu bertindak melebihi kuasanya termasuk menggantung dagangan saham syarikat berkenaan di Pasaran Utama Bursa pada 22 Oktober lepas.

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas bersepadu itu yang memfailkan saman tersebut pada 3 November lepas menamakan Bursa Malaysia sebagai defendan tunggal.

SDHB memohon deklarasi bahawa arahan yang diberikan oleh defendan bertarikh 28 Jun dan 2 Julai 2021 kepada syarikat itu untuk melantik Ernst & Young Consulting Sdn Bhd sebagai juruaudit khas bagi menjalankan ‘Kajian Semula Khas yang Bebas’ (SIR) mengikut perenggan 2.23 dan 2.24 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR) adalah melebihi bidang kuasanya, batal dan tidak sah serta tidak mempunyai kesan'.

Plaintif turut memohon perintah injunksi bagi menghalang Bursa Saham, wakil serta ejennya daripada mengeluarkan sebarang arahan kepada syarikat itu atau anak syarikat SDHB untuk menjalankan sebarang kajian semula dan membuat sebarang pengumuman atau menerbitkan, mengedar atau menyediakan kepada sesiapa ‘Kemas Kini Penemuan Fakta’ yang disediakan oleh Ernst & Young.

Selain itu, SDHB memohon ganti rugi dan kos daripada Bursa Saham.

Kes itu ditetapkan untuk pendengaran permohonan injunksi di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin pada 11 November ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: