Ramai majikan gagal carum Perkeso

Nora Yaacob
Nora Yaacob
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Masih ramai majikan di negeri ini dikesan gagal mendaftar perusahaan dan pekerja mereka sebagai pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso Terengganu, Nora Yaacob berkata, perkara ini berikutan majikan yang gagal memahami undang-undang berhubung kepentingan melakukan sedemikian.

"Selain itu, ramai dalam kalangan mereka sebenarnya tahu dan faham tentang kepentingan dan kewajipan mencarum yang ditekankan selama ini, tetapi mereka sengaja buat tak tahu.

"Ini adalah disebabkan tahap kesedaran mereka masih lagi kurang meskipun kita sudah melakukan pelbagai cara dalam usaha menyampaikan mesej tentang kelebihan serta kepentingan mencarum.

"Kita mahu majikan menunaikan tanggungjawab itu bagi memastikan golongan pekerja layak mendapat faedah tertentu jika berhadapan sebarang kemudaratan atau kematian, pada masa hadapan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapati antara penyebab majikan gagal membuat caruman itu kerana tidak mahu menanggung kerugian.

"Banyak majikan bertindak mengelak membayar kerana mahu jimat kos tetapi tidak tahu apa kesan yang berlaku kepada pekerja contohnya kemalangan yang boleh disebabkan pekerjaan atau tidak,"katanya.

Sehubungan itu, Nora berkata, pihaknya proaktif memberikan penerangan kepada majikan dan pekerja di setiap syarikat berhubung perkara terbabit.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Nora mengingatkan kepada majikan yang masih belum mendaftar dengan Perkeso boleh berbuat demikian sepanjang tempoh 'bulan pemutihan' ini yang bermula 1 sehingga 31 Mac.

"Tempoh pemutihan sebelum Ops Kesan adalah rutin yang kita adakan setiap tahun dan sepanjang tempoh ini, mana-mana majikan layak yang datang kepada kita untuk mendaftar perusahaan atau pekerja mereka secara sukarela tidak akan dikenakan apa-apa tindakan undang-undang," katanya.

Jelas Nora lagi, ini kerana bermula 1 April nanti, Ops Kesan akan dijalankan serentak di seluruh negeri dan majikan-majikan yang masih gagal mendaftar akan dikenakan kompaun serta merta bermula dari RM500 sehingga RM4,000 bergantung kepada kesalahan yang dikesan.