Berita gembira buat penjawat awam di Selangor 26 November ini

Amirudin ketika berucap di Majlis Perhimpunan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Selangor di Shah Alam pada Isnin.
Amirudin ketika berucap di Majlis Perhimpunan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Selangor di Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Penjawat awam di negeri ini akan menerima berita gembira yang bakal diumumkan ketika pembentangan Belanjawan Negeri Selangor pada 26 November ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengumuman tersebut adalah berkaitan bonus, namun ia tertakluk kepada jumlah kutipan hasil dalam negeri.

"Insya-ALLAH bonus (untuk penjawat awam) akan lain sedikit tahun ini bergantung kepada kutipan hasil di negeri ini.

"Pengumuman tersebut akan dibuat pada 26 November nanti ketika pembentangan itu, namun kerajaan negeri Selangor harus memikirkan secara menyeluruh agar kita dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan sebelum ini," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini pada Isnin.

Sementara itu, Amirudin turut mengumumkan bahawa pembentangan Rancangan Selangor Satu yang akan dibentangkan selepas pembentangan Belanjawan Negeri Selangor.

Beliau berkata, pelan tersebut berada di peringkat akhir yang mana meliputi beberapa rancangan untuk tahun-tahun seterusnya di Selangor.

"Kita sedang dalam proses akhir. Selepas pembentangan Belanjawan ini, ia akan jadi sebahagian daripada bibit-bibit untuk kita merangka pelan bagi tahun-tahun seterusnya di Selangor. Jadi kita perlukan komitmen semua daripada segi peraturan, perolehan dan sebagainya bagi pelaksanaan bersama-sama," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Amirudin turut mengingatkan penjawat awam supaya mempunyai sikap daya tahan uji yang tinggi untuk mengharungi pelbagai cabaran baharu, di samping meneroka peluang yang ada.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sikap tersebut tidak menunjukkan mereka sebagai golongan yang sombong dan berasa lebih baik, namun ia memaparkan kecekalan jiwa untuk melakukan kerja dengan betul.

"Sikap tahan uji harus menjadi citra dan cita-cita dalam negeri kita. Sebab itu penjawat awam selaku dinding utama yang membawa hasrat kerajaan negeri harus mempunyai sifat tersebut demi mengharungi segala rintangan.

"Ini bukan pengalaman baharu sebenarnya. Sejak tahun 2008 hingga 2018, kita sering diuji dengan pelbagai perkara seperti fitnah, tohmahan dan cercaan.

"Namun begitu, kita terus sabar, fokus terhadap kerja dan tugasan demi memastikan apa yang kita lakukan itu adalah betul serta mengikut landasan undang-undang," kata beliau.