Tetap bayar hutang walaupun RM7 sebulan

Mohd Fadli
Mohd Fadli
A
A
A

SHAH ALAM - Kesempitan hidup tidak menghalang seorang wanita untuk cuba melangsaikan hutangnya secara beransur-ansur walaupun serendah RM7 sebulan.

Kisah wanita yang dianggap 'penghutang dari syurga' itu dikongsikan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh di Facebooknya pada Ahad.

Mohd Fadli yang turut dikenali sebagai aktivitis sosial berkata, beliau sukar untuk memberi pinjaman wang kepada kepada orang tidak dikenali namun tergerak hati untuk memberikan bantuan kepada wanita tersebut.

"Aku memang sangat sukar bagi orang berhutang, hanya kepada sahabat baik yang aku sanggup halalkan jika aku mati dahulu atau bila mereka mati dahulu namun kes kakak ini istimewa, aku tak pernah jumpa dan kenal namun ALLAH SWT gerakkan hati untuk bantu.

"Dia terdesak nak pakai duit RM210 Mei lalu.

Satu nilai yang aneh pada aku.

Jarang orang berhutang nilai yang spesifik, biasanya orang genapkan jumlah RM50, RM100 atau RM200 namun kakak ini mohon pinjam RM210, " kongsinya pada Ahad.

Menurut Mohd Fadli, beliau meminjamkan wang tersebut kepada wanita tersebut dan memberikan syarat untuk membayarnya mengikut kemampuan setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

"Kakak ini berpegang sungguh pada janji.

Setiap bulan dia akan bayar kadang kala RM10 dan RM20.

Pernah sekali RM50 dan pernah ada bulan tak dapat bayar tapi dia akan mesej maklumkan.

"Semalam (Sabtu) kakak ini bayar RM7, satu jumlah yang sangat-sangat ganjil orang bayar namun rasanya hanya banyak itu yang dia mampu.

Antara mesej wanita tersebut dengan Mohd Fadli.
Antara mesej wanita tersebut dengan Mohd Fadli.

Betapa aku rasa terharu dengan kejujuran dan kesungguhan kakak ini melunaskan hutang, walaupun RM7 dia sanggup bayar.

Total bayaran setakat ni, RM107 dan ada lagi baki RM103.

Tak apalah yang selebihnya aku halalkan sahaja.

Kejujuran dan amanah yang ditunjukkan kakak ini tidak ternilai harganya, " ujarnya.

Beliau menasihatkan orang ramai yang pernah berhutang supaya mencuba kaedah dilakukan wanita tersebut yang tanpa jemu membayar setiap bulan walaupun dalam kuantiti yang sedikit.

" Jika gagal (tak mampu bayar), terus mesej bagi tahu tak mampu dan akan sambung bulan seterusnya.

Pemberi hutang akan rasa lega dan rasa selamat apabila penghutang jujur begini.

"Ini ada orang berhutang sampai beribu, apabila sampai masa dijanjikan untuk bayar, senyap.

Orang yang bagi hutang pula kena hubungi dulu dan minta.

Bila minta, pelbagai alasan diberi.

Duit tak cukup tetapi tengok kemas kini minum di Starbucks, jalan-jalan, beli itu, beli ini bukan main lagi.

Kalau bayar sikit-sikit macam kakak ini kan dah lama selesai.

"Malulah dekat akak walaupun RM7 dia tetap bayar, RM10 pun dia bayar dan jika tak mampu cepat-cepat dia hubungi dan bagitahu bukan diam.

Semoga rezeki kakak ini dan keluarganya terus dimurahkan. Amin, " katanya.