Ku Li mahu jumpa peneroka

Tengku Razaleigh disambut meriah ketika tiba di program di RKT Kesedar Lebir.
Tengku Razaleigh disambut meriah ketika tiba di program di RKT Kesedar Lebir.
A
A
A

GUA MUSANG - Ahli Parlimen, Tengku Razaleigh Hamzah akan berjumpa peneroka di daerah ini bagi mendapatkan maklum balas mengenai masalah yang terpaksa dihadapi terutamanya kelewatan elaun sara hidup.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata, kelewatan bayaran tidak sepatutnya berlaku kerana hasil eksport sawit adalah pendapatan kedua tertinggi dalam negara.

"Mereka (kerajaan) perlu merasai denyut nadi peneroka yang susah nak meneruskan kehidupan tambah-tambah lagi dengan kejatuhan harga hasil komoditi.

"Jangan fikir tanam hari ini, esok dah boleh makan. Mereka (peneroka) golongan yang berusaha membantu negara dengan hasil eksport dan khazanah untuk negara. Jangan pandang rendah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Sepetang Bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir, di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Mohd Syahbuddin Hashim, Naib Ketua Umno Bahagian, Ab Aziz Yusoff dan Ketua Penerangan, Amran Arifin.

Menurutnya, kerajaan kini tidak memahami situasi yang sedang dihadapi peneroka dan mengambil jalan mudah dalam isu yang berbangkit.

"Mereka tidak faham apa yang dihadapi golongan peneroka. Untuk faham, bukan hanya dengan baca laporan sahaja. Mereka kena turun jumpa peneroka dan belajar.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, peneroka di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melahirkan kegusaran apabila bayaran sara hidup yang diberikan secara pinjaman setiap bulan berdepan masalah sejak tahun lalu.

Difahamkan, bayaran dibuat tidak konsisten berikutan sehingga kini rata-rata masih menunggu bayaran untuk Februari yang belum dijelaskan.