Pas perlu hormati pendirian UMNO

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO meminta Pas supaya menghormati ketetapan parti itu untuk tidak bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO mempunyai dasar serta perancangan tersendiri dan bebas merencanakannya mengikut prinsip parti.

"Kita menghormati ketetapan kepimpinan Pas untuk bersama Bersatu dalam PRN Melaka. Maka kita berharap pemimpin Pas juga menghormati ketetapan UMNO tidak bersama dengan Bersatu.

"Sesungguhnya, UMNO tidak pernah berhasrat mendesak atau mengugut Pas supaya tidak bersama Bersatu. Bagi UMNO setiap dasar dan perencanaan politiknya tidak pernah tersasar daripada landasan agama, bangsa dan negara," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Pada Sabtu, Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk bergerak bersendirian pada PRN Melaka manakala Pas akan bergabung bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid mengakui UMNO membangkitkan tentang ketetapan yang pernah dibuat oleh Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional iaitu keputusan pada mesyuarat 19 Oktober dan 18 November tahun lalu.

"Perkara itu diiungkapkan semula dalam agenda meneruskan persefahaman bersama Pas bagi berdepan PRN Melaka. Walaupun UMNO sejak awal telah bersedia untuk mengharungi PRN Melaka dengan keadaan apa sekali pun di bawah panji BN.

"Asas persefahaman dengan Pas iaitu berpandukan kepada prinsip Pas akan menggunakan lambang partinya sendiri. Bagaimanapun pimpinan Pas tampak tidak berminat memenuhi ketetapan Muafakat Nasional itu kerana mahu bersama Bersatu. Ia bermakna Pas perlu menggunakan logo PN seperti yang dikehendaki Bersatu," katanya.

Artikel Berkaitan: