PRN Melaka: Parti Iman letak calon di DUN Machap Jaya

Parti Iman mengumumkan calon PRN Melaka.
Parti Iman mengumumkan calon PRN Melaka.
A
A
A

SEREMBAN - Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) membuat penampilan sulung dengan meletakkan seorang calon mereka bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) N08 Machap Jaya, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presidennya, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak berkata, kepimpinan tertinggi Iman telah bersetuju untuk mempertaruhkan seorang anak tempatan yang dipercayai boleh meraih undi khususnya pengundi Melayu.

Menurutnya, calon dipilih ialah Abdul Aziz Osani Kasim, 52, yang juga penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 2017 kawasan Machap Jaya, merangkap Ketua Cawangan Iman Machap Jaya.

"Beliau merupakan anak tempatan Machap Jaya dan seorang ahli perniagaan yang telah lama berkecimpung dengan khidmat masyarakat serta kerja-kerja kebajikan selama lebih tiga dekad.

"Kami berharap masyarakat tempatan dapat memberi peluang kepada calon Iman pada PRN Melaka kali ini, untuk terus berbakti kepada masyarakat," katanya pada sidang media pengumuman calon Parti Iman bagi PRN Melaka di sebuah hotel dekat sini pada Ahad.

Tambah beliau, pihaknya berharap pengundi N08 Machap Jaya akan membuat pilihan yang tepat dengan memilih calon Iman bagi memperjuangkan isu-isu tempatan dan membantu warga Machap Jaya dalam pelbagai aspek.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkeyakinan dapat menawan hati pengundi tempatan berikutan mempunyai hubungan baik dengan masyarakat setempat.

Abdul Aziz calon Parti Iman.
Abdul Aziz calon Parti Iman.

Artikel Berkaitan:

"Tanpa mengira kaum, bangsa dan agama, saya berkawan dengan semua, malah turut dikenali oleh masyarakat sekeliling.

"Iman berharap dapat meraih undi daripada semua kaum, walau pun pengundi Melayu di Machap Jaya adalah tinggi iaitu sebanyak 46 peratus, tetapi undi kaum lain juga sangat diperlukan untuk mencapai kemenangan," katanya.

Setakat ini, N08 Machap Jaya akan berdepan dengan empat penjuru, yang turut bertanding di Dun berkenaan adalah Ngwe Hee Sem daripada parti Barisan Nasional, Law Bing Haw (PH-PKR), Tai Jiung Siul (PN -Bersatu).