KKM kaji keberkesanan Ivermectin ke atas kontak rapat Covid-19

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) dan Institut Penyelidikan Klinikal Kebangsaan (ICR) bercadang memulakan ujian klinikal bagi mengkaji keberkesanan Ivermectin sebagai prophylaxis ke atas kontak rapat pesakit Covid-19 bagi mencegah peserta dijangkiti wabak itu, seawal bulan hadapan.

Pengarah ICR, Dr Kalairasu M Periasamy berkata, kajian yang diberi nama Randomised, Double Blind, Placebo Controlled Clinical Trial of Ivermectin For Post Exposure Prophylaxis For Covid-19 Infection Among Close Contacts (I-CPEP) menyasarkan seramai 300 peserta berusia 18 tahun ke atas yang merupakan kontak rapat ke atas pesakit Covid-19 di empat negeri terpilih membabitkan 10 fasiliti kesihatan di beberapa daerah di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis.

“Para peserta akan diminta menjalani ujian calitan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sebanyak dua kali iaitu sebelum kajian dilaksanakan dan pada hari kelapan kajian.

“Individu ini akan diperhatikan semasa mereka menjalani kuarantin sama seperti garis panduan dikeluarkan KKM untuk kuarantin kontak rapat. Mereka juga akan diberi Ivermectin pada hari pertama dan hari kedua sepanjang tempoh kuarantin,” katanya semasa Sesi Libat Urus Media Secara Maya: Kajian Keberkesanan Rawatan Ivermectin Dalam Penyakit Covid-19 Di Kalangan Pesakit Berisiko pada Ahad.

Turut sama dalam sesi libat urus ini ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) merangkap moderator untuk sesi berkenaan, Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan Ketua Penyelidik, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, Dr Steven Lim Chee Loon.

Dr Kalairasu bagaimanapun berkata, pihaknya masih menunggu kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk melaksanakan kajian klinikal tersebut.

“Kajian klinikal ini akan dihentikan selepas kami menerima jumlah sampel yang diperlukan iaitu seramai 300 orang,” katanya.

Sebelum ini, KKM telah membuat kajian keberkesanan rawatan Ivermectin kepada 500 pesakit Covid-19 berisiko tinggi dan hasil kajian merumuskan kaedah rawatan menggunakan Ivermectin tidak disyorkan untuk dimasukkan ke dalam garis panduan rawatan Covid-19 sedia ada kerana ia tidak mengurangkan risiko jangkitan tahap teruk. - Bernama

Artikel Berkaitan: