Bajet 2022: IKS kesal tiada peruntukan wujudkan lorong motosikal

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Ikatan Komuniti Selamat (IKS) kesal dengan pembentangan Bajet 2022 kerana tidak memberikan peruntukan kewangan khususnya dalam mewujudkan lorong motosikal di sepanjang jalan dan lebuh raya sedia ada.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, saranan tersebut merupakan salah satu cadangan utama yang dikemukakan IKS kepada Kementerian Kewangan (MoF) dalam memorandum Bajet 2022.

Beliau berkata, cadangan berkenaan bertujuan untuk menandakan permulaan budaya menunggang motosikal baharu dan lebih selamat di negara ini.

“Adalah amat dikesali apabila daripada ratusan bilion ringgit yang akan dikeluarkan tahun depan, tidak ada apa-apa peruntukan untuk melaksanakan projek keselamatan jalan raya walaupun kematian jalan raya selama bertahun-tahun kini menjadi salah satu punca kehilangan nyawa terbesar dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Sudah lama belanjawan negara sejak beberapa tahun dibentangkan, langsung tidak ada iltizam politik untuk memberikan peruntukan kewangan bagi menyediakan lorong motosikal sedemikian. Jika dilaksanakan, boleh menyelamatkan beribu-ribu nyawa kebanyakannya anak muda Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, disebabkan ketiadaan lorong eksklusif untuk motosikal, maka risiko untuk pengguna motosikal terdedah dengan kemalangan adalah tinggi.

Menurutnya, kebanyakan kemalangan maut serta kecederaan parah membabitkan pengguna motosikal berlaku akibat menunggang menggunakan jalan keluar masuk lorong laju bersama kereta dan kenderaan berat lain.

“Ini disahkan bukan sahaja berdasarkan penyelidikan berterusan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) tetapi juga berdasarkan pemikiran yang logik,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Lam Thye berkata, kecederaan lalu lintas jalan raya menyumbang sebanyak 14 peratus daripada kematian dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 14 tahun, menjadikan kecederaan lalu lintas jalan raya sebagai punca utama kematian kanak-kanak di negara ini.

Jelasnya, angka rasmi oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menunjukkan sebanyak 167,074 nyawa terkorban bagi semua jenis pengguna jalan raya dari tahun 1995 hingga Ogos tahun ini, atau purata 18 kematian sehari dalam tempoh tersebut.

“Dari tahun 2001 hingga Ogos, seramai 79,916 pengguna motosikal terkorban di Malaysia. Ini seharusnya menyedarkan kita semua bahawa sesuatu yang drastik perlu dilakukan untuk membendung kematian yang tidak seharusnya berlaku.

“Tujuh daripada 10 kematian jalan raya adalah pengguna motosikal menjadikan Malaysia lebih hampir untuk mengatasi Thailand untuk kadar kematian terburuk di dunia bagi penunggang motosikal.

“Dengan peningkatan populariti perkhidmatan penghantaran makanan melalui motosikal, angka kematian tidak dapat dielakkan untuk terus meningkat. Melainkan kerajaan dan pemimpin politik menerima realiti bahawa kematian yang boleh dielakkan ini sebenarnya mempunyai kesan sosial dan ekonomi yang besar kepada negara,” kata beliau.