Bulan Keluarga Kebangsaan kini Bulan Keluarga Malaysia: PM

Ismail Sabri ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan BKM 2020 di Taman Botani Perdana di sini pada Ahad. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan BKM 2020 di Taman Botani Perdana di sini pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seiring dengan semangat dan aspirasi Keluarga Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad mengisytiharkan Bulan Keluarga Kebangsaan yang disambut pada November setiap tahun bakal dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri berkata, Bulan Keluarga Malaysia 2021 akan memfokuskan nilai pengkayaan Keluarga Malaysia iaitu K.A.S.I.H. yang merangkumi kasih sayang, akhlak atau peribadi mulia, sihat fizikal dan mental, berilmu serta harmoni sebagai nilai yang perlu ada dalam setiap ahli keluarga.

Menurutnya, Keluarga Malaysia bertunjangkan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran yang mempunyai visi jangka panjang untuk memulihkan negara dengan pendekatan kekeluargaan.

"Ia juga bersifat 'actionable' kerana setiap kementerian akan memperkenalkan sekurang-kurangnya satu program dan inisiatif yang bermatlamat membantu mengurangkan kesan ekonomi yang ditanggung rakyat," katanya ketika Majlis Pelancaran sambutan Bulan Keluarga Malaysia 2021 di Taman Botani, Kuala Lumpur pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ismail Sabri berkata, sambutan pada tahun ini akan menjadi platform untuk menyemarakkan keutuhan dan keterangkuman dalam Keluarga Malaysia, sekali gus menjamin kemakmuran serta perpaduan keluarga yang besar.

"Selain penyertaan kementerian dan kerajaan negeri sebagai penggerak utama program, kerajaan berharap sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti turut mengambil bahagian agar program kesejahteraan keluarga dilaksanakan sebanyak mungkin mengikut kapasiti masing-masing.

"Penganjuran program boleh dilakukan di peringkat nasional secara gandingan kerjasama dengan agensi kerajaan sebagai acara nasional negara bagi mempertingkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rina berkata, Bulan Keluarga Malaysia 2021 akan turut diwarnai dengan sambutan peringkat negeri dan penganjuran program berbentuk outreach yang meliputi advokasi serta kesedaran berkaitan nilai-nilai kekeluargaan.

Menurutnya, kira-kira 120 aktiviti akan diadakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi kerjasama kerajaan negeri, NGO, sektor swasta dan komuniti setempat.

"Semua aktiviti yang diadakan akan dipaparkan dalam microsite khas yang dibangunkan sempena Bulan Keluarga Malaysia 2021.

"Antara aktiviti yang dijalankan termasuk Persidangan Kependudukan Kebangsaan (16 hingga 17 November), Forum Konsultatif Keluarga pada (25 November) dan pertandingan aktiviti Cuti-cuti Keluarga di Negeri Sembilan bermula 1 hingga 21 November," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPWKM menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah mengilhamkan inisiatif Prihatin Rumah Tangga yang membolehkan pasangan yang berhadapan gelora dan getir kehidupan berkeluarga dapat berhubung terus dengan kaunselor LPPKN.

"Inisiatif ini direalisasikan dengan memperkenalkan Toll Free Helpline Family Care@LPPKN 1-800-82-0300.

"Selain itu, KPWKM turut menyediakan khidmat Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang merupakan saluran alternatif untuk perkhidmatan pertanyaan dan aduan di kawasan tumpuan masyarakat," katanya.