Mayat remaja lelaki terjatuh di Pantai Puteri ditemui

Anggota bomba mengusung mayat mangsa yang terjatuh di Pantai Puteri pada Sabtu.
Anggota bomba mengusung mayat mangsa yang terjatuh di Pantai Puteri pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Percutian sebuah keluarga dari Nyalas, Jasin bertukar duka apabila salah seorang ahli keluarga mereka ditemukan lemas di Pantai Puteri, di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi mangsa MT Sharvin,16, dipercayai datang ke pantai itu bersama kira-kira 20 ahli keluarganya sebelum terjatuh ketika berjalan di batu pemecah ombak.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba ll, Mohd Khairul Nizam Mohd Anwar berkata, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 11.40 pagi.

"Setiba di lokasi kami memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa selepas dimaklumkan remaja lelaki terbabit hilang di kawasan pantai itu.

"Anggota melakukan SAR yang turut dibantu orang awam sebelum mayat mangsa ditemui kira-kira jam 2.30 petang," katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul Nizam berkata, mayat mangsa ditemui pada jarak 30 meter dari pantai dan dibawa oleh Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ke tepi pantai.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh waris keluarga.

Artikel Berkaitan: