Suami pulih dari Covid-19, isteri pula terlantar sakit

Mizman membantu isterinya minum air.
Mizman membantu isterinya minum air.
A
A
A

SEREMBAN - Ujian berganda buat bapa kepada tiga orang anak apabila dia yang dalam proses pemulihan daripada Covid-19, kini diuji dengan keadaan isterinya yang terlantar sakit sejak bulan lalu.

Mizman Ngadinan, 50, berkata, isterinya, Norentan Mohamad, 42, yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang kini hanya mampu terbaring di rumah mereka di Taman Arowana Impian di sini.

Dia berkata, keadaan kesihatan isterinya juga semakin merosot selepas terpaksa menjalani pembedahan membuang bisul September lalu.

"Isteri saya dah sakit lama tetapi selepas pembedahan itu keadaan dia makin teruk, dari boleh bergerak uruskan diri, kini semuanya perlu dibantu.

"Sejak itu juga isteri perlu menjalani hemodialisis tiga kali seminggu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, apa yang merisaukannya ketika ini ialah untuk menyediakan kos pembedahan membuat 'fistula' atau tapak dialisis yang dianggarkan antara RM3,000 sehingga RM10,000.

Mizman bersyukur kerana dua anak membantu menjaga isterinya.
Mizman bersyukur kerana dua anak membantu menjaga isterinya.

Mizman berkata, dia kini dalam proses untuk membuat permohonan bantuan daripada kerajaan negeri selain menunggu kelulusan permohonan bantuan daripada Baitulmal.

Artikel Berkaitan:

"Pendapatan bulanan saya pun hanya RM1,500. Saya pun nak kena bayar ansuran rumah dan kereta selain perlu menanggung dua anak yang masih bersekolah di Tingkatan Lima dan Enam.

"Kalau untuk makan minum itu Insya-Allah tiada masalah kerana ada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang membantu.

"Cuma apa yang saya risaukan adalah kos perubatan termasuk membeli lampin pakai buang isteri yang dianggarkan mencecah RM500 setiap bulan," katanya.

Bercerita lanjut, Mizman berkata, setiap kali memikirkan ujian yang perlu ditanggungnya menyebabkan ada ketikanya dia tertekan, namun perlu kuat demi anak-anak dan isteri.

"Kalau dulu mungkin tiada masalah kerana saya ada kerja yang stabil sebagai penyelenggara elektrik.

"Tapi pada tahun 2016 saya diberhentikan dan sejak itu hidup saya makin tersepit kerana dalam usia lebih 40 tahun, siapa yang sedia ambil saya bekerja," ujarnya.

Bagaimanapun, dia mengakui bernasib baik kerana rakannya sudi membantu mendapatkan pekerjaan di syarikat kenderaan terpakai.

"Tapi sekarang saya pun dah tak kuat lagi kerana kesan daripada jangkitan Covid-19. Mujurlah anak-anak membantu menjaga ibunya," katanya.

Bagi sesiapa yang berhasrat menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mizman di talian 012-6371908.