Nahas 737 MAX, Boeing setuju bayar AS$225 juta

Perkhidmatan pesawat 737 MAX digantung di seluruh dunia ekoran nahas yang berlaku di Indonesia pada Oktober 2018 dan di Ethiopia pada Mac 2019. - Foto Reuters
Perkhidmatan pesawat 737 MAX digantung di seluruh dunia ekoran nahas yang berlaku di Indonesia pada Oktober 2018 dan di Ethiopia pada Mac 2019. - Foto Reuters
A
A
A

WASHINGTON - Boeing bersetuju membayar kira-kira AS$225 juta bagi menyelesaikan tuntutan pemegang saham yang mendakwa pengarah syarikat itu gagal memantau isu keselamatan berkaitan nahas dua pesawat 737 MAX, lapor Sputnik.

Menurut akhbar The Wall Street Journal pada Jumaat yang memetik sumber, bayaran yang dipersetujui itu dilaporkan akan dipindahkan ke akaun kumpulan daripada dana insurans pengarah.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian itu, Boeing turut memutuskan untuk mengupah seorang pegawai bagi menguruskan hal ehwal dalaman syarikat, dan bercadang melantik seseorang yang berpengalaman luas dalam keselamatan penerbangan untuk menganggotai lembaga pengarah.

Akhbar itu menyatakan bahawa perjanjian itu tidak bermakna pengarah Boeing mengaku bersalah.

Penyelesaian yang dicadangkan itu dijangka diluluskan Mahkamah Chancery Delaware. Tuntutan itu difailkan di mahkamah pada Februari.

Perkhidmatan pesawat 737 MAX telah digantung di seluruh dunia ekoran nahas yang berlaku di Indonesia pada Oktober 2018 dan di Ethiopia pada Mac 2019, mengorbankan 346 nyawa.

Boeing mengakui bahawa dalam kedua-dua kes, terdapat kerosakan dalam sistem pengendalian. - Bernama

Artikel Berkaitan: