Apa salahnya PRN Melaka...

SPR menetapkan 20 November ini sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15.
SPR menetapkan 20 November ini sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15.
A
A
A

KEBANYAKAN negeri kini sudah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di mana banyak sektor perniagaan, ekonomi dan sosial mula beroperasi secara sepenuhnya.

Pada saat negara mula menampakkan petanda pulih daripada Covid-19 dengan bilangan kes positif semakin terkawal, lain cerita pula dengan orang politik di sebuah negeri di Selatan apabila melakukan pemberontakan dalaman sehingga menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka terpaksa dibubarkan dan akhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan.

Bak kata orang tua-tua, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak bahasa buruk padahnya’. Mengadaplah rakyat Melaka pada PRN nanti yang akan diadakan kurang daripada 16 hari lagi.

Baru sahaja penduduk Melaka merdeka daripada menjalani tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), kini mereka sibuk untuk menghadap PRN pula. Bak kata orang Melaka, hawau betul.

Apabila Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam berkenan untuk membubarkan DUN Melaka pada 4 Oktober lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan agar PRN Melaka perlu diadakan.

SPR sebelum ini telah menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian, manakala hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pula pada 16 November. Tempoh berkempen adalah selama 12 hari.

Bagi penulis, tempoh berkempen itu terlalu panjang, cukuplah sekadar lapan hari sahaja, memandangkan rakyat masih bimbang dengan penularan Covid-19.

Kita tidak mahu apa yang berlaku selepas PRN Sabah lalu berulang di Semenanjung.

Artikel Berkaitan:

Akhirnya, siapa yang menjadi mangsa, rakyat juga akan menerima padah.

Pada masa itu nanti, pelbagai prosedur operasi standard (SOP) baru mula keluar, larang itu dan ini, sehingga membebankan rakyat yang menjadi mangsa keadaan, disebabkan kerakusan sesetengah ahli politik.

Rakyat tidak mahu lagi PKP 4.0, cukuplah setakat PKP 3.0 sahaja. Itu pun pelbagai dugaan, cabaran khususnya dihadapi golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat kemerosotan ekonomi sehingga terjejas sumber pendapatan.

Panduan

Pada permulaan, ketika pengumuman SPR untuk mengadakan PRN, penulis berpandangan ini bukanlah masa yang sesuai untuk mengadakan apa jua pilihan raya.

Alangkah baiknya jika proklamasi darurat diumumkan, jadi tidak perlulah rakyat Melaka berdepan dengan PRN lagi.

Bagaimanapun, jika dilihat dari sudut rasional, PRN Melaka ini perlu diadakan kerana ia boleh dijadikan sebagai pilot project kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan nanti.

Jika PRN Melaka boleh dilaksanakan dengan kaedah yang selamat dan terkawal, ia boleh dijadikan sebagai contoh kepada PRU15 kelak.

Patuh SOP

Lagi pun, Melaka sebuah negeri bersaiz kecil dan mudah untuk dikawal, tidak seperti Sabah yang merupakan sebuah negeri kedua terbesar di Malaysia.

Malah bentuk muka bumi dan geografi di Melaka juga lebih mudah diurus, berbanding di Sabah atau Sarawak.

Rakyat dewasa di Melaka juga sudah melepasi 80 peratus yang menerima vaksin Covid-19, jadi apa yang dirisaukan?

Bagi penulis, tidak ada salahnya untuk mengadakan PRN, asalkan semua ahli parti yang bertanding, termasuk jentera-jentera pilihan raya parti mematuhi SOP ditetapkan tanpa gagal.

Jika masing-masing mematuhi SOP dengan baik, Insya-ALLAH semuanya akan berjalan dengan lancar.

Diharap biarlah pilihan raya kali ini boleh menjadi contoh terbaik dalam tempoh negara masih berperang dengan Covid-19.

Pendek kata, apa yang kurang perlu ditambah dan diperbaiki agar PRU15 kelak dapat dilakukan dengan ciri-ciri keselamatan tahap tertinggi demi pengundi.

* Sarinah Mat Kasim ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Melaka dan Negeri Sembilan