Tebus mata kad Mesra sambil menderma

Inisiatif klinik bergerak yang dijalankan BSMM bertujuan menyediakan penjagaan dan bantuan kepada komuniti berisiko serta terdedah.
Inisiatif klinik bergerak yang dijalankan BSMM bertujuan menyediakan penjagaan dan bantuan kepada komuniti berisiko serta terdedah.
A
A
A

SHAH ALAM - Petronas Dagangan Berhad (PDB) memberi peluang kepada pemegang kad Mesra untuk menderma mata ganjaran mereka menerusi program bantuan pandemik Covid-19 Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani berkata, ahli kad Mesra kini boleh memilih untuk menebus mata mereka untuk disumbangkan kepada mana-mana program BSMM termasuk Usaha Tindak Balas Covid-19, Perkhidmatan Ambulans Kecemasan, Bantuan dan Tindak Balas Bencana serta Perkhidmatan Kesihatan dan Masyarakat.

Menurutnya, sumbangan dalam jumlah denominasi RM10 dan RM20 juga boleh dibuat terus melalui aplikasi mudah alih Setel.

“Sejak bermulanya wabak ini, PDB sentiasa membantu barisan hadapan dan komuniti melalui pelbagai program khidmat masyarakat termasuk Kempen Coffee Break dan bank makanan (foodbank) yang dijalankan baru-baru ini.

“Perkongsian baharu dengan BSMM ini membolehkan kami meluaskan sumbangan dan menjangkau lebih banyak organisasi serta individu.

“Paling penting, kami dapat memanfaatkan platform untuk pelanggan yang ingin menyumbang melalui penebusan mata Mesra,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Melalui program PICK, BSMM dapat mendekati komuniti yang terjejas seperti mereka yang terlantar, OKU, pelarian, pendatang asing tanpa izin dan tanpa kerakyatan.
Melalui program PICK, BSMM dapat mendekati komuniti yang terjejas seperti mereka yang terlantar, OKU, pelarian, pendatang asing tanpa izin dan tanpa kerakyatan.

Beliau berkata, PDB telah menganjurkan program Power of Seven Virtual Run dalam usaha membantu Program Vaksinasi Mudah Alih BSMM yang berlangsung dari 1 April hingga 31 Mei 2021 dan menerima seramai lebih 18,000 peserta.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, hasil yang dijana melalui yuran penyertaan membolehkan mereka membeli bekalan perubatan seperti pelitup muka, alat pelindung muka (face shield), sarung tangan dan swab alkohol bagi tujuan program itu.

“Melalui acara tersebut, peserta diberi pilihan sama ada bayar untuk sertai larian atau menambah tenaga dengan Petronas Primax 97 dan bahan api Pro-Race untuk penyertaan percuma.

“Ini juga merupakan sebahagian daripada hasrat kami untuk membolehkan lebih ramai pemandu menikmati kuasa bahan api baharu kami,” tambahnya.

Sementara itu, Tunku Temenggong Kedah yang juga Pengerusi BSMM, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah berkata, BSMM dilantik oleh ProtectHealth untuk menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebagai penganjur penjagaan kesihatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jelas beliau, melalui program itu, BSMM dapat mendekati komuniti yang terjejas seperti mereka yang terlantar, orang kurang upaya (OKU), pelarian, pendatang asing tanpa izin dan tanpa kerakyatan.

“Inisiatif klinik bergerak ini adalah sejajar dengan matlamat BSMM untuk menyediakan penjagaan dan bantuan kepada komuniti berisiko serta terdedah. Memastikan golongan yang terdedah dilindungi secukupnya daripada virus juga adalah satu keperluan kemanusiaan,” jelasnya.