LBS agih dividen saksama kepada pemegang saham

A
A
A

LIM HOCK SAN
LIM HOCK SAN

SHAH ALAM - Syarikat pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 2.45 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Ke-23 (AGM) yang berlangsung sepenuhnya secara dalam talian, hari ini.

Pada mesyuarat itu, keputusan sebulat suara meluluskan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.25 sen sesaham (dividen akhir) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

LBS turut mengambil kira dividen interim pertama 1.20 sen sesaham yang diumumkan pada 19 April 2023 menjadikan jumlah dividen LBS tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 adalah sebanyak 2.45 sen sesaham.

Dividen interim pertama dan dividen akhir akan dibayar pada 17 Julai 2023 dan 14 September 2023 masing-masing kepada pemegang saham yang tersenarai di dalam Rekod Pendeposit LBS pada 30 Jun 2023 dan 30 Ogos 2023.

Tan Sri Lim Hock San bersama barisan ahli-ahli Lembaga Pengarah Kumpulan LBS Bina di Mesyuarat Am Tahunan (AGM) kali ke 23 yang diadakan secara maya.
Tan Sri Lim Hock San bersama barisan ahli-ahli Lembaga Pengarah Kumpulan LBS Bina di Mesyuarat Am Tahunan (AGM) kali ke 23 yang diadakan secara maya.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San berkata,pihaknya berbesar hati dengan keputusan AGM dimana kesemua resolusi telah diluluskan dan ingin merakamkan ucapan penghargaan serta terima kasih kepada para pemegang saham di atas sokongan yang diberikan.

“LBS turut menjangkakan pasaran hartanah akan berkembang positif dengan peningkatan permohonan pinjaman di samping pelancaran yang lebih strategik dan terancang pada tahun ini.

“Susulan dari itu, kami telah melancarkan projek bernilai RM1.4 bilion dan dalam perancangan untuk melancarkan projek dengan nilai anggaran RM2.09 bilion di seluruh Lembah Klang, Johor, Pahang dan Perak. Kami akan terus mengekalkan perspektif yang optimis pada pasaran hartanah,”katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Menurutnya, LBS akan menggunakan strategi yang betul selaras dengan situasi pasaran semasa dan akan terus konsisten memainkan peranan di dalam memacu pemulihan pasaran hartanah.

“Harapan kami untuk terus mengharungi separuh kedua tahun 2023 dengan meningkatkan nilai pemegang berkepentingan sekaligus berusaha untuk mencapai pertumbuhan perniagaan yang lestari dan membawa LBS ke peringkat yang lebih tinggi,”katanya.