Kerajaan tekad jadikan perbuatan menghendap sebagai jenayah

Mas Ermieyati Samsudin
Mas Ermieyati Samsudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bertekad untuk menjadikan perbuatan menghendap sebagai satu jenayah pada tahun ini setelah usaha itu dimulakan dengan penubuhan Jawatankuasa Anti-Stalking sejak 2019.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, sejak awal 2020 draf pindaan undang-undang (pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah) telah pun disediakan oleh Jawatankuasa Anti-Stalking.

Katanya, ia diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang jawatankuasa berkenaan dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan lain dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kertas dasar berserta cadangan pindaan undang-undang dijangka untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Disember ini.

"Pindaan tersebut akan dibentangkan di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Mas Ermieyati berkata, dalam tempoh itu, beliau juga berhasrat untuk mengadakan pertemuan bersama ahli Parlimen, agensi kerajaan dan NGO berkaitan untuk memberikan gambaran kepada orang ramai dan lebih memahami kesan perbuatan ini kepada masyarakat.

"Kerajaan memberikan komitmen agar menghendap dijadikan sebagai satu jenayah di Malaysia," katanya.

Beliau turut mengadakan mesyuarat bagi membincangkan status kemas kini mengenai usaha menjenayahkan perbuatan menghendap itu di Parlimen pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat itu diurusetiakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dan dihadiri oleh agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara.

Ia turut disertai Majlis Peguam Malaysia serta wakil NGO termasuk Women’s Aid Organisation (WAO) dan ahli-ahli akademik.

Mas Ermieyati memberitahu, dalam mesyuarat berkenaan juga tiga orang pemandiri menghendap telah berkongsi pengalaman mereka sebagai mangsa yang masih tidak diberikan perlindungan disebabkan jurang yang wujud dalam undang-undang sedia ada.

"WAO juga telah menyerahkan memorandum yang telah ditandatangani oleh 52 kumpulan dan petisyen yang disokong lebih 8,500 orang setakat ini, kepada saya yang menggesa kerajaan segera menjenayahkan perbuatan menghendap," katanya.