'Haramkan rokok elektronik, vape bukan kenakan cukai'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan sepatutnya mengharamkan rokok elektronik dan vape bernikotin di negara ini dan bukannya memperkenalkan cukai terhadap barangan tersebut, sebagaimana dibentangkan dalam Bajet 2022 pada Jumaat lalu.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Amrahi Buang berkata, langkah pengharaman rokok elektronik dan vape bernikotin telah dimulakan di beberapa negara di dunia termasuk di negara-negara jiran.

Menurutnya, berdasarkan kajian-kajian antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), rokok elektronik dan vape bernikotin bukanlah alternatif yang terbaik untuk seseorang mengurangkan atau memberhentikan ketagihan merokok (nikotin).

"Sebaliknya, ia adalah satu bentuk ketagihan nikotin yang baharu kerana ia bersifat rekreasi atau suka-suka dan sukar dikawal.

"MPS juga bimbang dengan pengaruh yang dilakukan pihak industri terhadap golongan muda, wanita dan kanak-kanak khususnya di media cetak dan elektronik termasuk di media sosial.

"Ini jelas menghalang usaha-usaha kerajaan untuk membebaskan rakyat daripada ketagihan nikotin dalam rokok termasuk rokok elektronik dan vape bernikotin ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, penggunaan rokok elektronik dan vape bernikotin bukanlah kaedah untuk berhenti ketagihan tersebut.

Malah jelasnya, ia juga bukan satu kaedah pengurangan kemudaratan (harm reduction) yang dicanangkan oleh pihak industri.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, rokok termasuk rokok elektronik dan vape bernikotin adalah penyumbang risiko yang utama dalam isu penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara ini yang merupakan masalah kesihatan yang besar.

"Ia juga menelan belanja yang sangat besar yang telahpun dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini terdapat dalam laporan Laporan Perbelanjaan Kesihatan Nasional.

"MPS berharap agar semua ahli-ahli Parlimen akan menolak cadangan mengenakan cukai terhadap rokok elektronik dan vape bernikotin ini.

"Utamakan gaya hidup sihat tanpa ketagihan baharu terhadap rokok elektronik dan vape bernikotin. Kesihatan rakyat perlulah diutamakan kerajaan," jelasnya.

Tambahnya, cara yang paling baik untuk berhenti merokok adalah dengan menyertai program berhenti merokok di klinik-klinik berhenti merokok KKM atau melalui perkhidmatan mQuit yang dikendalikan oleh profesional kesihatan termasuk ahli-ahli farmasi yang bertauliah untuk mengendalikan program berhenti merokok.