Spiktra-M pendekkan masa perjalanan ke Bandaraya Melaka

Melalui Spiktra-M, masa perjalanan dapat dijimatkan sehingga 300 peratus mengikut simulasi kajian. Gambar hiasan.
Melalui Spiktra-M, masa perjalanan dapat dijimatkan sehingga 300 peratus mengikut simulasi kajian. Gambar hiasan.
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 33 persimpangan lampu isyarat di bawah kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan dilengkapi dengan Sistem Pintar Kawalan Trafik (Spiktra-M) secara berperingkat melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM4.36 juta.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, sistem itu yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan menghasilkan sistem lampu hijau bersepadu bagi tujuan penyuraian trafik dan kelancaran lalu lintas dijangka siap sepenuhnya pada April tahun depan.

"Melalui Spiktra-M, masa perjalanan dapat dijimatkan sehingga 300 peratus mengikut simulasi kajian yang dibuat ke atas kebolehupayaan sistem ini dan ia menyediakan platform pengumpulan data di setiap persimpangan lampu isyarat kepada bilik kawalan Spiktra-M bagi mengesan serta membantu penyuraian trafik.

"Setakat ini sebanyak 22 persimpangan lampu isyarat telah dilengkapi Spiktra-M manakala 11 lagi persimpangan akan turut dilengkapi sistem itu dan ia dijangka siap sepenuhnya pada April tahun depan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Spiktra-M MBMB di sini pada Selasa.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, antara projek rintis Spiktra-M MBMB yang telah dilaksana ialah di Zon Tiga Kota Laksamana melibatkan tiga persimpangan dan masa perjalanan berjaya dikurangkan kepada satu minit 10 saat berbanding tiga minit 44 saat sebelum pelaksanaannya.

Beliau berkata, pelaksanaan Spiktra-M membuktikan kejayaan MBMB dalam memperkasa penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadi bandar pintar serta berteknologi tinggi berlandaskan Pelan Strategik MBMB 2030 dan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia.

"Spiktra-M diharap menjadi kayu ukur gerak kerja inovasi yang berdaya saing serta menjadi panduan dan rujukan pihak lain pada masa akan datang sekali gus merancakkan semula sektor pelancongan di Melaka," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: