Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 665 orang

Anggota APM Kota Setar menjalankan operasi memindahkan mangsa banjir di Kampung Kuar Mukim Tajar ke PPS SK Darul Hikmah pada Selasa. - Foto APM Kedah
Anggota APM Kota Setar menjalankan operasi memindahkan mangsa banjir di Kampung Kuar Mukim Tajar ke PPS SK Darul Hikmah pada Selasa. - Foto APM Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir di lima daerah di negeri Kedah terus meningkat kepada 665 orang daripada 183 keluarga setakat jam 4 petang pada Selasa.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka juga meningkat daripada lapan kepada sembilan.

Menurutnya, PPS yang baharu dibuka pada jam 3 petang itu adalah PPS Dewan Cenderawasih di daerah Pendang yang menempatkan 61 mangsa daripada 19 keluarga.

"Setakat jam 4 petang ini, jumlah mangsa terus meningkat kepada 665 orang daripada 183 keluarga berbanding 526 orang daripada 145 setakat jam 8 pagi tadi melibatkan daerah Pendang, Pokok Sena, Kota Setar, Kubang Pasu dan Baling," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Muaz berkata, jumlah mangsa banjir terbaharu di daerah Pendang adalah sebanyak 278 mangsa daripada 67 keluarga, di Pokok Sena (25 mangsa daripada lapan keluarga) dan Kota Setar pula sebanyak 228 mangsa daripada 68 keluarga.

Menurutnya, di Kubang Pasu pula melibatkan 119 mangsa daripada 35 keluarga dan Baling membabitkan 15 mangsa daripada lima keluarga.

"Setakat ini, sembilan PPS yang dibuka adalah PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah dan PPS Dewan Cenderawasih di Pendang, manakala satu PPS dibuka di Pokok Sena iaitu Surau Kampung Permatang Limau.

"Di Kota Setar, tiga PPS dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar, SK Suka Menanti dan SK Darul Hikmah, di Kubang Pasu sebuah PPS dibuka iaitu SK Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang dan di Baling dua PPS dibuka iaitu SK Siong dan Tunku Putera," katanya.

Artikel Berkaitan: