SMART ronda kawasan dijangka berlaku banjir besar

Abdul Latiff (tengah) menyampaikan Anugerah Penuntut Terbaik Keseluruhan kepada Mohd Nazrin A Wahab (kanan) pada Majlis Penutup Kursus Khas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Siri 1/2021 di Markas Pasukan SMART pada Selasa. - Foto Bernama
Abdul Latiff (tengah) menyampaikan Anugerah Penuntut Terbaik Keseluruhan kepada Mohd Nazrin A Wahab (kanan) pada Majlis Penutup Kursus Khas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Siri 1/2021 di Markas Pasukan SMART pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pasukan elit negara, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan ditugaskan membuat rondaan secara berkumpulan di kawasan yang dikenal pasti berlaku bencana banjir luar biasa ketika musim Monsun Timur Laut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, SMART dilengkapi dengan peralatan moden dan canggih, akan memberi tumpuan di kawasan Pantai Timur seperti Pahang dan Terengganu yang dijangka dilanda banjir besar.

"SMART akan buat rondaan dari semasa ke semasa.. kita ada peralatan lebih moden seperti trak besar yang boleh digunakan untuk meredah kawasan banjir dan mengangkut mangsa.

"Tahun ini (banjir) dikatakan akan ikut seperti tahun lepas dan jangkaan mungkin akan besar juga," katanya pada majlis penutupan Kursus Khas SMART Siri 1/2021 di Markas SMART, Pulau Meranti dekat sini pada Selasa.

Monsun Timur Laut adalah musim hujan utama di Malaysia.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Isnin, hujan lebat diramalkan berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor mulai November ini hingga awal Januari 2022 susulan peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula 3 November dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Abd Latiff berkata, antara lokasi diramalkan banjir termasuklah Maran dan Kuala Lipis di Pahang serta Kemaman, Terengganu, manakala banjir besar juga dijangka berlaku di Sabah dan Sarawak pada awal tahun hadapan.

Abd Latiff berkata, kerajaan Pusat akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menghadapi dan mengendalikan bencana banjir.

Artikel Berkaitan:

"Mereka (kerajaan negeri) ini tahu di mana yang mungkin berlaku banjir sebab hal ini adalah sesuatu yang berlaku setiap tahun, cuma masanya kita kena peka," katanya. - Bernama