Kelantan hantar pasukan teknikal tinjau gelanggang Sukma

Wan Roslan merupakan antara barisan kepimpinan Kelantan yang mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Kompleks Darulnaim, Kota Bharu pada Selasa.
Wan Roslan merupakan antara barisan kepimpinan Kelantan yang mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Kompleks Darulnaim, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan sudah menghantar pasukan teknikal yang terdiri dari agensi kerajaan untuk membuat tinjauan ke beberapa buah gelanggang sebagai persediaan membina kompleks sukan di Bukit Merbau, Pasir Puteh bagi tujuan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026.

Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, menerusi tinjauan itu pasukan berkenaan akan mengumpulkan seberapa banyak maklumat berkait dengan kerja-kerja pembinaan kompleks sukan tersebut.

"Lawatan ini melibatkan gelanggang sukan yang akan dipertandingkan pada Sukma 2026 di negeri ini yang melibatkan 16 acara wajib iaitu hoki, balapan dan banyak lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 di Kompleks Darulnaim, di sini pada Selasa.

Menurut Wan Roslan, selain pembangunan infrastruktur, pihaknya telah meminta Majlis Sukan Negeri (MSN) untuk menyediakan kertas kerja 'Road To Sukma 2026'.

Beliau berkata, penyediaan kertas kerja membabitkan pembangunan atlet dan infrastruktur itu bagi melancarkan lagi gerak kerja dan perjalanan Kelantan sebagai tuan rumah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor itu berkata, perincian berkait dengan pembinaan kompleks itu sudah dilakukan dengan sebaik mungkin supaya kemudahan tersebut dapat disiapkan mengikut jadual.

Dalam perkembangan lain, Wan Roslan berkata, kerajaan negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Pusat yang meluluskan peruntukan untuk membina kompleks sukan di Bukit Merbau.

Katanya, pembinaan itu akan dilakukan mengikut fasa-fasa yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan: