Berhenti kerja juruelektrik, jual piza

A
A
A

KUALA PILAH - Ketika ramai yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19, seorang pemuda memilih berhenti kerja sebagai juruelektrik kilang dan mengambil keputusan menjual piza di kampungnya di Kampung Juar, Seri Menanti di sini.

Keputusan nekad Noor Akmal Abd Majid, 31, itu dianggap berbaloi kerana Pizza Ria Kampung Boy miliknya itu kini dikenali di negeri ini.

Noor Akmal memulakan perniagaan dibantu ibunya tetapi kini dia boleh berbangga apabila mampu menggaji lima pekerja.

Menurut Noor Akmal, semuanya bermula selepas dia mengikuti kelas membuat roti secara sambilan pada hujung minggu bagi menghilangkan tekanan kerja.

"Lagipun saya memang minat bidang masakan dan memberanikan diri mengambil tempahan piza daripada penduduk kampung.

"Tujuan saya jual piza untuk memberi peluang penduduk kampung menikmati makanan 'mat salleh' dan tidak sangka sambutan agak baik. Jadi saya membuat keputusan berhenti kerja untuk fokus pada perniagaan piza," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Noor Akmal (tengah) melihat pekerjanya menyiapkan tempahan pizza
Noor Akmal (tengah) melihat pekerjanya menyiapkan tempahan pizza

Menurutnya, pada April tahun lalu, dia membuka kedainya sendiri di hadapan rumah dan kini mampu menjual piza antara 1,000 hingga 1,4000 kotak sebulan.

Ujarnya, dia mengeluarkan modal kira-kira RM35,000 mengubah suai rumah arwah neneknya untuk dijadikan kedai dan membeli perkakasan lain.

"Saya bersyukur dengan jalan yang saya pilih cuma cabarannya kerana lokasi kedai yang agak jauh di kawasan kampung dan menyukarkan pelanggan datang.

"Saya menerima banyak tempahan dari daerah lain seperti Port Dickson, Seremban, Rembau dan Jempol tetapi terpaksa menolak kerana memikirkan kos penghantaran yang agak tinggi," katanya yang bercadang untuk membuka francais.

Selain itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka itu turut menyediakan kelas membuat piza dengan maksimum 20 peserta.

Dia turut menasihatkan generasi muda supaya berani menceburi bidang perniagaan dan tidak mengharapkan kerja makan gaji semata-mata.

"Percayalah kepada rezeki, yang penting kita jangan berputus asa. Kalau tidak mencuba macam mana untuk tahu sama ada berjaya atau sebaliknya.

"Saya pun bermula sekadar mahu mengisi masa lapang dan hilangkan tekanan kerja tetapi tidak sangka sekarang menjadi sumber pendapatan," katanya.