Ketua Menteri, rakan kabinet beri penghormatan terakhir buat Masing

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud (tiga, kiri) dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi (dua, kanan) memberikan penghormatan kepada mendiang Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing di kediaman beliau, pada Isnin. - Foto Bernama
Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud (tiga, kiri) dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi (dua, kanan) memberikan penghormatan kepada mendiang Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing di kediaman beliau, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menghadiri upacara penghormatan terakhir buat mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing pada Rabu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion berkata selain Abang Johari, menteri-menteri Kabinet, Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, turut akan memberi penghormatan terakhir mereka pada upacara yang diadakan di Association of Churches in Sarawak (ACS), Jalan Stampin, di sini.

“Mereka akan memberi penghormatan terakhir mulai jam 8.30 hingga 9 pagi diikuti dif-dif kenamaan dan ketua-ketua jabatan sehingga jam 10.30 pagi.

“Orang awam pula akan mula memberi penghormatan mereka pada 10.30 pagi hingga 1.30 petang,” menurut Jaul dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Masing yang merupakan Timbalan Ketua Menteri Sarawak serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya, Kuching pada jam 7.05 pagi Ahad. Beliau berusia 72 tahun.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak pada September selepas disahkan positif Covid-19 dan kemudian dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.

Sementara itu, Jaul berkata, orang awam yang bercadang untuk datang hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan hanya pelawat yang lengkap menerima dua dos vaksin dibenarkan hadir.

“Pelawat yang datang juga digalakkan menjalani ujian saringan Rapid Test Kit (RTK) kendiri, wajib memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal sepanjang masa.

Artikel Berkaitan:

“Mereka juga diminta mematuhi penggiliran di mana hanya 30 orang sahaja dibenarkan masuk ke dewan pada satu-satu sesi penghormatan,” menurutnya.

Jenazah Masing kemudiannya akan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Kuching untuk upacara pengebumian selepas selesai upacara penghormatan terakhir pada jam 2 petang. - Bernama