China sokong Huawei saman AS

Ketua Pegawai Kewangan Huawei, Sabrina Meng Wanzhou ditahan pihak berkuasa Kanada pada Disember lalu dan penahanan itu dibuat atas arahan AS.
A
A

BEIJING - CHINA. China menyatakan sokongan terbukanya kepada syarikat telekomunikasi Huawei yang memfailkan saman terhadap Amerika Syarikat (AS) atas dakwaan cuba menyekat perniagaannya di peringkat global.

Malah, Beijing menggesa syarikat China supaya tidak berdiam diri sekiranya ditindas AS.

"Kami menyokong syarikat berkenaan (Huawei) dan individu yang ditahan. China tidak boleh berdiam diri," kata Menteri Luar, Wang Yi semasa mesyuarat politik tahunan China di Beijing, hari ini.

Beliau membuat kenyataan itu sebagai solidariti terhadap Ketua Pegawai Kewangan Huawei, Sabrina Meng Wanzhou yang ditahan pihak berkuasa Kanada pada Disember lalu.

Penahanan itu dibuat atas arahan AS.

Washington sebelum ini mendakwa Huawei dan Sabrina dan dua rakan gabungan dengan penipuan untuk melanggar sekatan terhadap Iran.

Dalam 13 pendakwaan, Jabatan Kehakiman berkata Huawei memperdaya sebuah bank global dan pihak berkuasa AS berhubung hubungannya dengan anak syarikat, Skycom Tech dan Huawei Device USA Inc, bagi membolehkannya menjalankan perniagaan di Iran.

Dalam kes berasingan, Jabatan Kehakiman juga mendakwa Huawei mencuri rahsia perdagangan, penipuan menggunakan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) dan menghalang keadilan berhubung tuduhan mencuri teknologi robotik daripada syarikat penerbangan T-Mobile US Inc untuk menguji ketahanan telefon pintar.

T-Mobile menuduh Huawei mencuri teknologi, yang dikenali sebagai “Tappy,” yang meniru jari manusia dan digunakan untuk menguji telefon pintar.

Huawei berkata, kedua-dua syarikat itu menyelesaikan pertikaian mereka pada 2017.

Terdahulu kerajaan AS, Australia dan New Zealand bertindak menyekat agensi tempatan darada menggunakan teknologi Huawei untuk rangkaian 5G. -Agensi