Syamsul akan tarik balik saman terhadap MAIWP, Jawi

Syamsul Yusof
Syamsul Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah filem 'Mat Kilau', Syamsul Yusof dilaporkan akan menarik balik saman RM10 juta terhadap Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan dua pegawai kanan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Mahkamah Tinggi di sini.

Perkara itu disahkan peguam, Datuk Adnan Seman yang mewakili Maiwp selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Aisyaf Falina Abdullah pada Rabu.

"Mahkamah menetapkan 13 Julai ini untuk pengurusan kes selanjutnya," kata peguam itu ketika dihubungi pemberita.

Pada 28 Mac lalu, Syamsul memfailkan saman terhadap MAIWP dan dua kakitangan jabatan itu, membabitkan penyebaran fakta-fakta aib dan memalukan kepada ibu Syamsul Yusof, Datin Patimah Ismail dan berhubung kenyataan isterinya Ira Kazar selepas dipanggil oleh pihak Jawi, Ogos tahun lepas.

Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof selaku plaintif, mengambil tindakan undang-undang itu melalui Tetuan Azahir Surainie & Azizan Ariff dengan menamakan Pegawai Hal Ehwal Islam Di Bahagian Penguatkuasaan Jawi, Mohd Haris Abdllah; Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail dan Jawi sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Menerusi pernyataan tuntutan, pengarah berusia 39 tahun ini menuntut ganti rugi teladan (tidak dinyatakan jumlah) ke atas defendan kerana didakwa dengan sengaja dan berniat jahat untuk membuka aibnya.

Dia juga memohon deklarasi bahawa gambar pernyataan yang mengandungi nama Syamsul, Ira atau Faghira Fatini, 28; separuh tandatangan dan pernyataan bertulis adalah satu keterangan yang telah diambil oleh defendan-defendan atau ejennya, tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 dan undang-undang yang berkait.

Syamsul juga memohon deklarasi bahawa gambar pernyataan tersebut yang telah dirakam oleh defendan atau ejen adalah dokumen dalam kawalan mereka.

Ia termasuk deklarasi bahawa penyebaran gambar pernyataan tersebut dibuat oleh defendan atau ejen.

Syamsul yang mempunyai 1.8 juta peminat di akaun Instagram berkata, pada 20 Disember 2022, ibunya telah menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp iaitu gambar pernyataan mengandungi nama Ira, separuh tandatangan dan pernyataan bertulis.

Dia yang juga pelakon filem 'KL Gangster' menyatakan bahawa, gambar pernyataan tersebut yang mengandungi fakta mengaibkan dan memalukannya, telah disebar kepada ibunya, sebelum ini.

"Plaintif kemudiannya telah menghubungi Ira dan dia memaklumkan bahawa keterangan tersebut dibuat ketika merakam keterangan oleh defendan, berhubung siasatan kes oleh isteri petama, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin (ketika itu).

"Ira kemudiannya membuat laporan polis pada 23 Disember tahun sama," kata Syamsul dalam pernyataan itu.

Sedangkan dia berkata, keterangan Ira yang dirakam oleh defendan pertama tertakluk di bawah Seksyen 59 Akta Prosedur Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah) Persekutuan 1997 dan Akta Keterangan Mahkamah Syariah yang mana pernyataan itu dikategorikan sebagai dokumen persendirian dan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972.

Oleh itu, plaintif mendakwa ketiga-tiga defendan telah melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 apabila menyebarkan gambar pernyataan tersebut dan mendakwa beliau telah dimarahi oleh ibunya dengan kata-kata yang mengguris perasaan serta mengalami tekanan perasaan.

Akibat penyebaran fakta-fakta aib itu, plaintif telah dimarahi oleh ibunya dengan kata-kata yang mengguris perasaan selain mengalami tekanan perasaan yang tinggi.

Tindakan defendan atau ejen katanya telah mengaibkan dan memburukkan imej, nama serta reputasinya selaku pelakon dan pengarah filem.

Tambahan lagi katanya, keterangan itu telah ditokok tambah oleh defendan sedangkan ia bukan keterangan yang diberikan oleh isterinya.

Katanya, kenyataan tidak benar itu merupakan fitnah, kerana ia memberi gambaran bahawa dia melakukan maksiat dan mempunyai hubungan luar perkahwinan bersama pihak lain.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.

Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Puteri Sarah kemudiannya memfailkan permohonan cerai daripada Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co.

Pada 14 Jun lalu, Syamsul menceraikan isteri pertamanya, Puteri Sarah dengan talak satu buat kali kedua, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini.

ARTIKEL BERKAITAN:

'Saya ceraikan awak, Puteri Sarah talak satu' - Syamsul Yusof

'Tiada dendam, ini ujian hidup, saya reda' - Syamsul Yusof

Kes saman Puteri Sarah terhadap Ira Kazar selesai - Peguam Syamsul