Kumpul kepakaran rangka hala tuju Cordoba of Kedah

Najmi (berdiri) beramah mesra dengan pakar-pakar akademik yang menyertai Bengkel Cordoba Of Kedah Peringkat Negeri Kedah di sebuah hotel, dekat Alor Setar pada Isnin.
Najmi (berdiri) beramah mesra dengan pakar-pakar akademik yang menyertai Bengkel Cordoba Of Kedah Peringkat Negeri Kedah di sebuah hotel, dekat Alor Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri mengalu-alukan penglibatan pimpinan utama kerajaan, wakil rakyat, ketua agensi, para ilmuan dan tokoh masyarakat dalam merangka hala tuju gagasan Cordoba of Kedah (CoK) bagi melahirkan modal insan rakyat negeri ini yang mempunyai perwatakan holistik.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, CoK yang disebut dalam pembentangan Bajet Kedah 2021 merupakan satu inisiatif yang dilihat sebagai 'to advance in historical senses of civilizations' atau selangkah ke depan merasai persejarahan ketamadunan.

Menurutnya, dalam Buku Pelan Pembangunan Kedah 2035, CoK merupakan salah satu agenda yang selari dengan Teras 4 iaitu keseimbangan modal insan dan bakat iaitu meningkatkan kecemerlangan modal insan melalui pembentukan dan pembangunan masyarakat menyeluruh.

"Idea dan inisiatif untuk membangunkan CoK adalah dengan mengambil semangat kegemilangan Cordoba, pusat pemerintahan, keilmuan dan pembinaan tamadun bagi Andalusia. Di situ, pendidikan menjadi keutamaan. Kota Cordoba dipenuhi perpustakaan dan kedai buku di tepi jalan.

"Para ulama Cordoba bersatu dan bekerjasama membangunkan pendidikan ilmu. Dengan itu, Cordoba berjaya melakar kecemerlangan bertaraf dunia dalam bidang Sains, Astronomi, Perubatan, Sejarah, Geografi, Falsafah dan Sastera," katanya semasa merasmikan Bengkel Cordoba Of Kedah Peringkat Negeri Kedah secara dalam talian di sebuah hotel, dekat sini pada Isnin.

Pada bengkel tersebut, seramai 50 pakar akademik dari beberapa universiti tempatan, pemimpin, pegawai kerajaan, pakar agama dan ilmuan Islam dihimpunkan bagi mencari idea-idea membangunkan hala tuju CoK.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, CoK juga seiring dengan gagasan ‘Keluarga Malaysia’ di peringkat nasional dan pihaknya berusaha menjadikan gagasan tersebut sebagai model kebersamaan masyarakat pelbagai kaum dan agama hidup sejahtera di bawah pentadbiran kerajaan yang inklusif.

Menurutnya, bagi mencapai matlamat itu, suatu budaya pendidikan yang holistik dan menyeluruh bermula dari pendidikan awal kanak-kanak sehingga ke pengajian tinggi diperlukan sebagaimana budaya masyarakat Cordoba waktu itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Exco Agama Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, kepakaran setiap peserta yang dikumpulkan dan input diperolehi akan digunakan dalam menyesuaikan dengan 'blue print' Pembangunan Kedah 2035.

Menurutnya, langkah yang digerakkan adalah untuk menyiapkan Kedah dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2035 dengan memanfaatkan setiap institusi pengajian yang ada di negeri ini.

"Pertama sekali ialah menjadikan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muad'zam Shah (UniSHAMS) itu sendiri sebagai hub pendidikan untuk melaksanakan Cordoba Of Kedah, terasnya di situ.

"Di samping itu, kita cuba menyusun sistem pendidikan yang memang banyak di Kedah ini iaitu pusat-pusat pengajian, pondok sekolah-sekolah agama dan sebagainya.

"Jadi kita cuba satukan, maksudnya satukan itu kita cuba manfaatkan kekuatan itu bagi melahirkan generasi madani dalam tempoh 15 tahun akan datang, Insya-ALLAH dan selanjutnya," katanya.

end