Selangor tambah jemaah solat Jumaat, fardu

JAIS membenarkan penambahan jemaah bagi solat fardu lima waktu dan Jumaat di semua masjid dan surau di Selangor. (Gambar kecil: Mohd Shahzihan)
JAIS membenarkan penambahan jemaah bagi solat fardu lima waktu dan Jumaat di semua masjid dan surau di Selangor. (Gambar kecil: Mohd Shahzihan)
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan penambahan jemaah bagi solat fardu lima waktu dan Jumaat di semua masjid dan surau di negeri ini berikutan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Ahad.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, seramai 3,500 jemaah termasuk pentadbir dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan seramai 500 jemaah menunaikan solat fardu di masjid negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Menurut beliau, seramai 1,500 jemaah pula dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan 400 jemaah menunaikan solat fardu di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.

"Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang pula seramai 700 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan 300 jemaah untuk solat fardu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Shahzihan berkata, dua lagi masjid diraja iaitu Masjid Sultan Abdul Aziz, Kampung Perigi Nenas, Pulau Indah dan Masjid Diraja Sultan Ala'Eddin, Jalan Istana, Kampung Bandar Jugra, Banting masing-masing membenarkan seramai 400 jemaah solat Jumaat dan 300 jemaah solat fardu.

Beliau memberitahu, penambahan bilangan sama turut membabitkan seluruh masjid daerah, masjid institusi negeri dan masjid pengurusan.

"Selain itu, penambahan jemaah turut melibatkan masjid kariah, surau kebenaran solat Jumaat dan surau kariah," jelas beliau.

Mohd Shahzihan memberitahu, berikutan peningkatan jumlah bilangan jemaah terbaharu ini, Sultan Sharafuddin turut menitahkan program pengimarahan turut diperluaskan bagi memastikan peranan masjid dan surau sebagai pusat ilmu Islam serta pusat komuniti ummah setempat kembali berfungsi.

Artikel Berkaitan:

"Peluasan program pengimarahan di semua masjid, surau dan musala dibenarkan seperti kuliah Subuh, kuliah duha, kuliah Maghrib, tazkirah sebelum solat fardu Jumaat, halaqah, tadarus dan tadabbur al-Quran, kuliah Muslimat, bacaan Yasin dan tahlil serta program munajat dan doa.

"Selain kebenaran untuk meneruskan program pengimarahan, pentadbir masjid dan surau turut dibenarkan melaksanakan program, kelas pengajian dan kursus," ujarnya.

Selain itu jelas beliau, pelaksanaan program pengimarahan juga tertakluk beberapa syarat antaranya semua penceramah dan pentazkirah perlu lengkap dua dos suntikan vaksin dan melepasi tempoh inkubasi ditetapkan.

"Semua penceramah dan pentazkirah hendaklah mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh JAIS dan melaksanakan ceramah atau kuliah berkitab berdasarkan silibus atau berkitab.

"Mereka juga diingatkan tidak bercanggah atau berlawanan dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah, tidak menyentuh isu politik dan isu sensitif yang boleh memecahkan perpaduan ahli kariah.

"Syarat lain ditetapkan setiap penceramah dan pentazkirah perlu mengambil masa mengingatkan jemaah kembali menunaikan solat fardu berjemaah dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, Sultan Sharafuddin memberi perkenan had jemaah solat Jumaat di masjid serta surau dengan kebenaran solat Jumaat di seluruh Selangor dinaikkan.

Menerusi kemas kini di Facebook Selangor Royal Office memaklumkan, pertimbangan dan keputusan itu diambil setelah baginda meneliti data terbaharu penularan wabak Covid-19 yang memperlihatkan statistik kematian harian menurun kepada satu digit di Selangor.