Syarikat ingin rekrut pencari kerja tempatan perlu peroleh lesen

Awang. - Foto fail Bernama
Awang. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mana-mana syarikat yang ingin menjalankan aktiviti merekrut pencari kerja tempatan untuk bekerja di luar negara perlu memperoleh lesen kategori B atau C di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, ia bagi mengatasi masalah eksploitasi ke atas rakyat Malaysia yang ingin bekerja di luar negara.

“Akta 246 turut memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh menjalankan aktiviti merekrut melainkan jika telah diberikan suatu lesen di bawah akta tersebut.

“Melalui peruntukan tersebut, semua agensi pekerjaan swasta yang berlesen hendaklah menjalankan aktiviti merekrut secara sah sama ada di dalam atau di luar negara.

“Sehubungan itu, pencari kerja tempatan yang berhasrat untuk bekerja di luar negara dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pekerjaan swasta yang berlesen di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM),” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Shabudin Yahaya (Bersatu-Tasek Gelugor) bahawa apakah kadar upah yang tinggi menjadi punca ramai rakyat Malaysia sanggup bekerja secara haram di Australia dan Korea Selatan dan apakah tindakan yang diambil bagi mengelakkan lebih ramai rakyat Malaysia menjadi buruh paksa di negara-negara terbabit.

Mengulas lanjut, Awang menjelaskan telah menjadi kelaziman bahawa tarikan gaji yang tinggi di luar negara terutama di negara-negara maju merupakan salah satu tarikan utama rakyat Malaysia sanggup bekerja di luar negara seperti di Australia dan Korea Selatan.

“Yang mana gaji minimum di Australia adalah sebanyak AS$20.33 sejam iaitu dianggarkan bersamaan dengan RM84.28, manakala di Korea Selatan pula kadar gaji minimum sejam adalah sebanyak AS$8.00 yang dianggarkan bersamaan dengan RM33.16.

Artikel Berkaitan:

“Kadar upah yang tinggi ini secara tidak langsung telah menarik pencari kerja tempatan untuk bekerja di luar negara,” katanya.

Beliau dalam masa yang sama turut menegaskan bahawa sehingga kini, tiada aduan terhadap agensi pekerjaan swasta yang berlesen di bawah Akta 246 yang melakukan eksploitasi terhadap pekerja tempatan yang bekerja di luar negara.

“Mana-mana orang yang melanggar peruntukan ini adalah disabitkan telah melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.