Tiga lelaki Myanmar didakwa culik rakan senegara

Tiada pengakuan direkodkan dari ketiga-tiga tertuduh di Mahkamah Majistret (Munisipal) pada Isnin.
Tiada pengakuan direkodkan dari ketiga-tiga tertuduh di Mahkamah Majistret (Munisipal) pada Isnin.
A
A
A

BUTTERWORTH - Tiga lelaki warga Myanmar dituduh menculik seorang lelaki warga sama dengan meminta wang tebusan RM3,000 di Mahkamah Majistret (Munisipal) pada Isnin.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka, Abdul Rahim Ali Husson, 38; Taher Ahmad Mustafa Ahmad, 42, dan Mostaque Ahmed Rofiq Ahmed, 36 didakwa bersama-sama dengan seorang yang masih bebas didapati menculik seorang lelaki warga Myanmar, Saddik Mohammad Jalil,dengan niat untuk mendapatkan wang tebusan berjumlah RM3,000.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 21 Oktober, kira-kira jam 8.10 malam hingga 24 Oktober jam, kira-kira jam 8.25 malam di sebuah rumah di Kampung Masjid, Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah.

Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh berikutan kes tersebut adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 (Akta 365) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 3 Disember depan untuk sebutan semula kes untuk laporan kimia.

Artikel Berkaitan: