Nak lentur buluh mula daripada rebung

A
A
A

KATA orang-orang tua dan bijak pandai dahulu kala, melentur biarlah daripada rebungnya. Ada juga yang kata melentur buluh biar daripada rebungnya. Dua-dua ini pun sama maksud peribahasanya. Cuma dalam kata daftar Dewan Bahasa, peribahasanya tidak menyebut perkataan buluh itu.

Selain itu, ada juga peribahasa yang menyebut buluh, iaitu seperti sedang rebung baik dipatah, jadi buluh melepuh jari. Walaupun berlainan pula peribahasanya tetapi mempunyai maksud yang sama juga iaitu mengajar anak-anak biarlah dari kecil, jangan ditunggu sampai sudah besar pula.

Bila besar, susah pula hendak dilentur. Bila susah hendak dilentur, maka susahlah pula hendak ditegur, hatta mendengar cakap orang-orang tua pun susah juga. Satu lagi peribahasa lain tetapi mempunyai maksud yang sama juga ialah, rebung hendaklah dilentur, jangan dinantikan sampai menjadi aur. Begitulah hebatnya orang-orang tua dahulu dalam berbahasa.

Perlu juga kita tanya, adakah anak-anak muda zaman sekarang tahu atau kenal dengan rebung ini? Mungkin yang membesar di bandar-bandar serba maju tidak kenal malah mungkin tidak tahu yang rebung itu boleh dimakan.

Tentang rebung, ia adalah buluh juga. Tetapi buluh muda. Buluh yang tumbuh pada mula-mulanya dan sedap dimakan kalau kena cara memasak. Banyak cara hendak masak rebung ini, hanya perlu rujuk resipi.

Ada resipi gulai rebung cili padi, gulai rebung ayam, gulai rebung madu, rebung tumis bersantan dan bermacam-macam lagi. Dan bila memasak rebung ini ada petuanya juga supaya tidak pahit ketika dimakan.

Berbalik kepada peribahasa melentur daripada rebung, perlu ada caranya. Tidak boleh terlalu kasar dan tidaklah boleh terlalu lembut. Jika kasar nanti patah pula dan jika terlalu lembut tidak menjadi apa-apa. Begitulah hebatnya pengamatan orang-orang tua kita dahulu.

Apabila sudah menjadi buluh, banyak juga kegunaannya. Antaranya tertakluklah kepada jenis buluh itu. Kalau buluh Cina yang halus-halus itu, boleh pula dibuat dekorasi dan perhiasan rumah. Kalau pandai menghiasnya, maka cantiklah jadinya.

Artikel Berkaitan:

Dahulu semasa kanak-kanak, ada juga yang menggunakan buluh Cina ini untuk bermain perang-perang. Saya ingat-ingat lupa juga akan nama permainan itu. Ada yang panggil ‘chakplom’, dan di Terengganu pula dipanggil ‘bedilang’. Pelurunya ada yang memanggilnya buah peluru atau buah cenerai.

Sekarang ini mungkin susah juga hendak mencari buah peluru ini. Biasanya pokok ini hidup di semak-samun. Tapi semak-samun pun sudah berkurang agaknya. Dan lagipun buluh juga semakin berkurang juga agaknya.

Baru-baru ini pula ada sahabat Facebook saya memuat naik artikel tentang seorang usahawan menanam buluh dan menjual rebung madu yang terbukti boleh menjana pendapatan lumayan.

Kata Adnan Osman, “saya pilih rebung madu sebab senang nak jaga dan juga boleh hidup di kawasan yang ditambak dan kering mahupun di tempat berpaya.

“Harganya mencecah RM7 sekilo jika jual rebung madu. Pada masa ini, tidak sampai pun 10 peratus rebung tempatan ada di pasaran. Tak dapat pula nak tampung permintaan pelanggan," katanya yang menjadikan buluh sebagai perniagaan landskap,

Maka saranan seorang menteri kita yang mencadangkan penanaman alternatif di antaranya buluh ini hendaklah diberi perhatian. Selain senang menanamnya, harganya boleh mencecah tinggi jika pandai memasarkannya. Terpulanglah kepada rakyat jelata pula hendak menyahut saranan ini.

Berbalik kepada peribahasa yang saya sebutkan tadi, selain itu kita juga boleh mengambil iktibar daripada pesanan orang tua dahulu kala, yang sudah pun memberi nasihat lebih terkehadapan daripada kita sebenarnya.

Pertama, peribahasa yang digunakan itu bersandarkan pemerhatian kepada alam secara langsung yang dapat juga memberi manfaat daripada segi komersial. Ini pun jika kita pandai mengkajinya. Kedua, hendaklah kita sentiasa menggunakan peribahasa orang-orang tua bijak pandai ini, supaya kita sentiasa berfikir.

Selain itu, disebabkan banyak juga kegunaan buluh ini, kita juga hendaklah bersedia untuk menampung permintaan pada bulan puasa yang semakin hampir. Selain digunakan untuk membuat lemang, jangan lupa juga untuk membuat meriam buluh. Baru meriah hari raya nanti!

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, email beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!