'Pencapaian hebat buat skuad muda negara'

Rimau muda kembali semula ke pentas Asia

Skuad B-22 negara yang bakal membawa cabaran Malaysia di pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan tahun depan. -Foto: Mongolian Football Federation
Skuad B-22 negara yang bakal membawa cabaran Malaysia di pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan tahun depan. -Foto: Mongolian Football Federation
A
A
A

KEJAYAAN skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara mara ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan tahun depan secara merit disifatkan sebagai pencapaian hebat buat pelapis muda negara.

Menurut pengendali skuad B-22 negara, Brad Maloney, kesemua pemain telah mempamerkan aksi terbaik dengan mengekalkan rekod tanpa kalah selain tidak dibolosi di sepanjang aksi kelayakan berkenaan.

Malah katanya, kesebelasan pemain juga telah beraksi sebaik mungkin pada aksi kelayakan itu biarpun terpaksa mengharungi persiapan serba kekurangan berikutan pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Sebelum ini kami tidak banyak menjalani latihan bersama berikutan situasi pandemik Covid-19 dan menjelang aksi kelayakan ini, kita hanya sempat berlatih selama dua minggu sebelum ke Mongolia.

“Kami juga pasukan terakhir yang tiba ke Mongolia, berbanding pasukan-pasukan lain yang tiba lebih awal.

“Apa pun, kami tetap berlatih seperti biasa dan memastikan persiapan kita berada pada tahap terbaik pada aksi kelayakan kali ini,” katanya pada sidang media dalam talian pada Ahad.

Anak buah Maloney mengesahkan slot automatik ke kejuaraan di Tashkent pada Jun depan, biarpun melakar keputusan seri tanpa jaringan menentang Thailand dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Persekutuan Bolasepak Mongolia (MFF) di Ulaanbaatar pada Ahad.

Skuad negara, layak selaku juara Kumpulan J apabila meraih tujuh mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Laos pada 24 Oktober sebelum menewaskan tuan rumah, Mongolia, 1-0 pada 28 Oktober.

Artikel Berkaitan:

Tambah Maloney, dia juga bangga dengan aksi yang dipamerkan dalam kalangan pemain muda negara sepanjang saingan kelayakan berkenaan.

Katanya, kesemua pemain beraksi seperti pemain profesional di sepanjang aksi kelayakan berkenaan walaupun masih muda bagi memastikan kejayaan skuad negara.

“Sekali lagi saya sifatkan kejayaan ini sebagai pencapaian hebat bagi skuad negara. Pemain telah buktikan kemampuan masing-masing di sepanjang aksi kelayakan kali ini.

“Selain itu, pemain telah beraksi berdasarkan kepada prinsipal kita sendiri dalam usaha memastikan misi layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia di Uzbekistan, tahun depan berjaya,” katanya.