X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 08 Julai 2022

Kedah segera baik pulih infrastruktur rosak akibat banjir

Muhammad Sanusi mengadakan sidang media selepas merasmikan majlis penutup #MyDigitalMaker Virtual Fair Negeri Kedah di Wisma Darul Aman hari ini. Foto Bernama
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan menyegerakan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir di beberapa daerah di negeri itu, selepas taksiran jumlah kerosakan dikenal pasti sepenuhnya nanti.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihak pejabat daerah Baling, Padang Terap serta Pokok Sena, kini sedang membuat taksiran kerosakan itu dan daripada maklumat diperoleh mendapati infrastruktur yang paling banyak terjejas adalah di Baling.

“Saya dah bincang dengan Pegawai Kewangan Negeri, kita akan segerakan proses baik pulih infrastruktur di bawah tanggungjawab kerajaan negeri, yang rosak akibat banjir yang bersabit dengan kerajaan Persekutuan di bawah agensi-agensi berkaitan.

“Seperti JKR (Jabatan Kerja Raya) dan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) ada senarai bersama. Ada (juga) paip SADA (Syarikat Air Darul Aman) yang putus, SADA pun akan ambil tindakan segera, ada titi dan jambatan yang rosak. Titi ini saya difahamkan ada yang panjang, mungkin libatkan kos tinggi,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas program penutup pameran dalam talian #MyDigitalMaker ‘MaiReka’ 2021 di Wisma Darul Aman di sini pada Ahad, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah Wan Romani Wan Salim.

Untuk rekod, seramai 446 mangsa banjir daripada 139 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah Baling, Pendang dan Pokok Sena.

Kata Muhammad Sanusi, banjir yang berlaku di daerah Pendang pula tidak menjejaskan banyak infrastruktur, sebaliknya hanya menyebabkan penduduk terputus hubungan.

Mengenai faktor berlakunya banjir di kesemua daerah itu, beliau menjelaskan, berdasarkan laporan yang diterimanya setakat ini, ia disebabkan hujan lebat dan bukannya berkaitan dengan sistem perparitan atau faktor lain namun pihaknya akan memberikan perhatian untuk mengenal pasti punca terbabit.

“ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), wakil rakyat telah turun tengok semua (keadaan kesan banjir) dan bagi perhatian kepada masalah dihadapi penduduk,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi memberitahu, kerajaan negeri dengan agensi berkaitan telah pun bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku ketika musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November depan.

Menurut beliau rakyat Kedah juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan keadaan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku 4 November ini terutamanya mereka yang tinggal berhampiran laut dan muara sungai. -Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!