PRN Melaka: PKR dikompaun RM10,000 adakan ceramah bergerak

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Polis hari ini mengesahkan telah mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana mengingkari larangan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan mengadakan ceramah bergerak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Asisten Komisioner Azlan Abu berkata, kompaun itu dikeluarkan selaras dengan peruntukan 16 P.U (A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

"Polis telah meminta penganjur untuk memberhentikan program tersebut kerana prosedur operasi standard Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara melarang apa-apa program berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan apa-apa yang boleh menyebabkan kehadiran orang ramai di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dilakukan,” menurutnya dalam kenyataan pada Ahad.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, yang mengesahkan perkara itu dalam sidang media pada Ahad, meminta KKM dan Kementerian Dalam Negeri memperinci kaedah kempen yang boleh dilakukan sepanjang PRN Melaka.

Sebelum ini, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Barisan Nasional (BN) turut dikompaun kerana melanggar larangan itu.

Pada 24 Oktober lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dipetik sebagai berkata, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa 25 Oktober hingga 27 Nov ini bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak Covid-19. -Bernama

Artikel Berkaitan: