Agihan benih padi MADA selesai 4 November ini

Ahmad Tarmizi (dua,kanan) meninjau bekalan benih padi di Kilang Seri Merbok, Simpang Empat di sini pada Ahad.
Ahmad Tarmizi (dua,kanan) meninjau bekalan benih padi di Kilang Seri Merbok, Simpang Empat di sini pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR - Proses pengagihan benih padi sah (BPS) kepada pesawah dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dijangka selesai pada 4 November ini.

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata aktiviti pengedaran BPS sudah mencapai 86.4 peratus atau sebanyak 102,644 beg bagi penanaman musim 2/2021.

Katanya, sehingga 27 Oktober, sebanyak 130,338 beg BPS dipesan pesawah melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA manakala sebanyak 118,813 atau 91 peratus beg BPS sudah diterima PPK.

"Jumlah pesanan yang diterima PPK pula hanya 20 peratus daripada keseluruhan keperluan BPS di kawasan Muda seluas 96,558 hektar yang memerlukan 13,518 tan metrik bersamaan 675,906 beg BPS.

"Selebihnya iaitu kira-kira 80 peratus daripada jumlah keseluruhan keperluan BPS diperoleh pesawah daripada pasaran terbuka seperti agen dan kedai swasta,"katanya selepas melawat Kilang Benih Padi Seri Merbok di Simpang Empat di sini pada Ahad.

Menurutnya, MADA juga telah melaksanakan beberapa inisiatif dan tindakan-tindakan proaktif untuk memastikan aktiviti penanaman oleh para peladang tidak tergendala.

"Antaranya termasuklah mengadakan beberapa siri mesyuarat dan perbincangan bersama pihak pengeluar BPS berkaitan dan agensi-agensi yang terbabit secara langsung dalam pengeluaran BPS seperti Jabatan Pertanian Malaysia dan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) pada 18 Ogos dan 17 Oktober lalu.

"Selain itu, MADA juga turut melaksanakan pemantauan secara berkala di tiga peringkat pengeluaran BPS iaitu di peringkat pengeluar, pemborong, makmal Jabatan Pertanian Malaysia dan di peringkat PPK sendiri,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Tarmizi turut menasihatkan pesawah membuat tempahan BPS menerusi PPK bagi mengelakkan terpedaya dengan juala benih pada harga yang tidak masuk akal.

"Harga runcit BPS yang ditetapkan adalah RM35 satu beg namun kita mendapat aduan ada peruncit yang mengambil kesempatan menjual harga melebihi RM40 satu beg.

"Kita kesal dengan apa yang berlaku, ada peruncit ambil kesempatan manipulasi harga ketika pesawah memerlukan benih untuk memulakan penanaman padi musim 2/2021.

"Benih padi yang mendapat permintaan tinggi daripada pesawah adalah varieti MR297,

namun kita berharap pesawah yang membuat pesanan kepada PPK tidak menukar jenis pesanan pada saat akhir bagi mengelak berlaku kelewatan proses menabur benih seperti yang dijadualkan oleh pihak MADA," katanya.