Kontroversi dana bantu kaum India

No Image Caption
A
A
A

PEMBANGUNAN inklusif kira-kira dua juta masyarakat India merangkumi tujuh peratus daripada keseluruhan populasi Malaysia sentiasa menjadi sebahagian agenda nasional negara demi meningkatkan sosioekonomi dan taraf hidup kaum minoriti itu.

Agenda pembangunan inklusif masyarakat India diberi perhatian seimbang dan peruntukan saksama melalui pemberian jutaan ringgit dana melalui bajet tahunan serta pelbagai pelan tindakan yang bertaraf kebangsaan.

Kemakmuran kelangsungan hidup dan masa depan masyarakat India terus mengalami transformasi dengan perkenalan mahupun pembentukan unit transformasi hasil inisiatif kerajaan bermula dari Barisan Nasional (BN) diikuti Pakatan Harapan (PH) sehingga Perikatan Nasional (PN).

Sejajar dengan itu, Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) ditubuhkan pada tahun 2019 yang sebelum ini dikenali sebagai unit khas bagi Program Pembangunan Sosioekonomi (SEDIC) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) beroperasi dari 2014 hingga 2018.

MITRA berwajah baharu itu turut mengangkat tanggungjawab sebagai unit khas diterajui Kementerian Perpaduan Negara bagi melaksanakan program-program meningkatkan sosioekonomi masyarakat India di negara ini terutama golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar B40.

Unit khas berkenaan menerima dana geran peruntukan sebanyak RM100 juta saban tahun bagi melaksanakan variasi program pembangunan untuk masyarakat India.

Bagaimanapun, Akhbar harian Tamil, Malaysia Nanban melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini telah menahan 18 orang pengarah syarikat berusia antara 24 hingga 68 tahun dalam satu operasi besar-besaran diadakan di sekitar Lembah Klang.

Lebih menggemparkan lagi, pihak SPRM juga telah menyiasat kira-kira 337 syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kesemuanya berhubung dakwaan kes penyelewengan dana geran peruntukan dikeluarkan MITRA.

Artikel Berkaitan:

Bak kata peribahasa Melayu, harapkan pagar, pagar makan padi. Malaysia Nanban mendakwa hampir 60 peratus daripada dana geran peruntukan MITRA tersebut tidak dimanfaatkan untuk pembangunan masyarakat India.

Ironinya dana geran peruntukan diterima oleh syarikat, individu perseorangan dan yayasan bagi tujuan pelaksanaan program pembangunan sosioekonomi masyarakat India tidak sampai kepada kumpulan sasaran tetapi jutaan ringgit itu telah diselewengkan.

SPRM menyatakan daripada siasatan setakat ini, 80 peratus dipercayai telah menyalahgunakan dana geran peruntukan yang disediakan untuk memperbaiki nasib masyarakat India terutama golongan miskin tegar. Jelas Malaysia Nanban dana geran peruntukan MITRA seperti yang ditetapkan turut didapati tidak disalurkan sepenuhnya.

Pada tahun 2020 dan 2021, dana geran diwartakan untuk pengoperasian MITRA dan pelaksanaan program-program pembangunan tidak disumbangkan secara keseluruhan seperti yang dijanjikan.

Kata akhbar harian itu, terdapat pengurangan dana, sementara pihak berkuasa unit berkenaan menjelaskan dana selebihnya telah digunakan untuk menjelaskan hutang-hutang.

Bagaimanapun pihak MITRA telah gagal memberi penjelasan terperinci dengan bukti yang sahih mengenai penggunaan dana peruntukan berkenaan berhubung senarai hutang yang dipersoalkan itu.

Sementara itu, MIC turut didakwa telah mempergunakan dana geran peruntukan MITRA tersebut.

Namun, Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran menjelaskan parti itu tidak terlibat sebaliknya meminta pihak SPRM mengadakan siasatan terperinci agar imej MIC tidak tercemar.

Sebelum ini, masyarakat India dan beberapa figura politik telah memohon kepada kerajaan untuk membuat siasatan mengenai dana geran peruntukan MITRA dengan menubuhkan satu suruhanjaya khas.

Permintaan masyarakat India itu akhirnya mendapat perhatian pihak SPRM dan kini pasukan penyiasatan berkenaan bertindak meneliti semua bentuk permohonan, laporan perbelanjaan dan program dikatakan telah diimplementasikan oleh penerima dana geran peruntukan itu dari tahun 2019 hingga 2021.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor