Amanah yakin boleh menang semua kerusi di Melaka

 Asmuni Awi
Asmuni Awi
A
A
A

IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) yakin peluang untuk menang di semua sembilan kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November.

Pengarah Pilihan Raya Amanah, Datuk Asmuni Awi berkata, keyakinan itu berdasarkan reaksi dan sambutan positif pengundi hasil beberapa tinjauan yang dilakukan jentera parti itu.

"Peluang (untuk menang) cerah, baik dan bagus dengan isu-isu tempatan yang ada dan kita sudah mula bergerak mendekati pengundi dengan cara tersendiri dan dibenarkan oleh undang-undang.

"Kita buat 'ground' dan 'random surveys'. Alhamdulillah tinjauan secara keseluruhan peluang Amanah dan Pakatan Harapan (PH) untuk menang adalah cerah," katanya ketika ditemui pemberita sempena Konvensyen Amanah Perak kali ke-6 di Wisma Amanah Perak, Greentown di sini pada Sabtu.

Menurut Asmuni, agihan kerusi yang dimuktamadkan kepada Amanah dalam PRN ini lebih tinggi berbanding enam daripada keseluruhan 28 kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Katanya, pada PRU14, Amanah menang di dua kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil menerusi bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan DUN Durian Tunggal.

"Pada saya yang penting bukan jumlah kerusi bertanding tetapi jumlah kerusi yang kita menang sebab tidak ada 'point' kalau bertanding sampai 15 kerusi tetapi akhirnya hanya menang 5 sahaja.

"Sasaran PH menang sekurang-kurangnya 20 kerusi dan Amanah selain kekalkan menang dua kerusi itu. Kita nak menang kesemuanya.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini senarai calon telah dikenalpasti dan telah disenarai pendek pun, tetapi kita tak boleh isytiharkan lagi. Mungkin dalam sehari dua ini kita akan umumkan," katanya.

Pengerusi Amanah Perak itu bagaimanapun mengingatkan barisan jentera agar tidak memandang rendah kekuatan parti lawan.

Katanya, meskipun nampak berlaku perpecahan dalaman namun atas faktor pengalaman, kelemahan itu mungkin dapat diatasi bagi mencorak kemenangan pilihan raya.

"Mereka ini 'season politician', jadi kita tidak boleh pandang rendah atau 'over confident', mesti hormati kekuatan mereka di sebalik perpecahan yang berlaku.

"PRN Melaka ini akan menjadi indikator kepada isu politik di Malaysia dan untuk kita lihat bagaimana PRU dapat dikendalikan pada masa akan datang," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan penamaan calon pada 8 November manakala undi awal pada 16 November ini.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Pada Jumaat, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan jumlah yang akan ditandingi parti itu pada PRN Melaka membabitkan DAP yang kekal lapan kerusi, sembilan daripada Amanah dan PKR bertanding 11 kerusi dengan menggunakan logo PH.