PRN: UMNO harap PH juga boleh 'menang besar'

Muhamad Akmal
Muhamad Akmal
A
A
A

SHAH ALAM- Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyuarakan harapan agar UMNO ‘menang besar’ dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi merupakan isyarat baik terhadap hubungan antara kedua-dua pihak berkenaan dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, beliau juga mengharapkan kejayaan yang sama turut dicapai oleh parti tersebut bersama rakan gabungannya dalam Pakatan Harapan (PH).

“Dengan kemenangan yang dicapai bersama-sama, ia juga merupakan salah satu aspek utama dalam mengukuhkan pentadbiran Persekutuan kini.

“Sebagai sebuah rakan koalisi dalam Kerajaan Perpaduan, sokongan antara satu sama lain merupakan perkara penting,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Baru-baru ini Anthony turut menyatakan bahawa sekiranya parti mendapat dukungan yang tinggi daripada rakyat pada PRN, ia merupakan satu isyarat buruk buat pembangkang.

Justeru, ujar Ahli Parlimen Seremban itu, apa yang penting kini, semua koalisi parti kerajaan mesti terus bersama membina kekuatan penting agar kerajaan sekarang terus kukuh.

Ketika diminta mengulas mengenai perbezaan ideologi antara UMNO dan DAP, Muhamad Akmal berkata, ia bukan satu isu.

“Setiap parti memang boleh dikatakan ada ideologi tersendiri, apa yang penting adalah kita sentiasa saling hormat menghormati dan memahami antara satu sama lain.

“Sekiranya terdapat perkara yang sensitif, kita bincangkannya secara tertutup,” ujarnya.