Pesta buah-buahan tempatan bantu tangani isu lambakan buah

Razali (dua dari kanan) ketika merasmikan Pesta Buah-buahan Selangor Fruit Valley di Grand Barakah Hotel, Ampang pada Jumaat.
Razali (dua dari kanan) ketika merasmikan Pesta Buah-buahan Selangor Fruit Valley di Grand Barakah Hotel, Ampang pada Jumaat.
A
A
A

AMPANG - Penganjuran pesta buah-buahan oleh Selangor Fruit Valley dilihat sebagai salah satu inisiatif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk menangani isu lambakan buah-buahan yang berlaku dalam kalangan petani di Selangor ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, pihaknya turut membantu para petani yang mengalami masalah lambakan buah dengan membeli hasil tersebut untuk dipasarkan dan diberikan kepada kawasan terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurutnya, sebanyak RM200,000 diperuntukkan untuk usaha tersebut bagi memastikan para petani yang mempunyai isu lambakan buah ini tidak mengalami kerugian dan hasil mereka dibuang begitu sahaja.

“Jika para petani mendapati terdapat lambakan buah yang banyak, mereka akan terus menghubungi PKPS untuk memaklumkan kepada kami dan pembelian terus dibuat.

“Sehingga kini, sebanyak RM200,000 pembelian buah-buahan dibuat yang kemudiannya dipasarkan serta diberikan kepada kawasan-kawasan terkesan akibat pandemik Covid-19 seperti lokaliti PKPD di Selangor,” katanya ketika ditemui di Grand Barakah Hotel, di sini pada Jumaat.

Mohamad Khairil ketika ditemui di Grand Barakah Hotel, di sini pada Jumaat.
Mohamad Khairil ketika ditemui di Grand Barakah Hotel, di sini pada Jumaat.

Mohamad Khairil berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Tourism Selangor untuk mempromosikan buah-buahan tempatan di beberapa lokasi di Selangor menerusi pesta buah-buahan tempatan tersebut.

Ujarnya, program berkenaan diharap dapat memajukan perkembangan sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Saya boleh berikan jaminan bahawa program-program sebegini akan diadakan di setiap tempat di Selangor dan kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk promosikan buah-buahan dari ladang PKPS sebagai satu daya tarikan sektor pelancongan.

“Selepas ini, kita akan bekerjasama dengan pihak Tourism Selangor untuk mempromosikan buah-buahan tempatan pada setiap minggu di tempat-tempat yang akan ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Grand Barakah Hotel, Datuk Seri Razali Md Sham mengalu-alukan penduduk Lembah Klang, khususnya di sekitar kawasan Ampang untuk datang ke hotelnya bermula Jumaat hingga Ahad bagi mendapatkan buah-buahan tempatan pada harga yang berpatutan.

“Selepas ini, kita akan buka sebuah reruai untuk menjual buah-buahan tempatan setiap hari yang dikeluarkan oleh Selangor Fruit Valley dengan harga yang berpatutan berbanding harga pasaran,” katanya.