Keluarga dibenar lawat penghuni penjara sempena Deepavali

Penjara Kajang. - Foto hiasan
Penjara Kajang. - Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keluarga dibenarkan melawat penghuni penjara bermula 5 hingga 9 November ini sempena perayaan Deepavali mengikut syarat-syarat yang ditetapkan Jabatan Penjara Malaysia.

Jabatan tersebut dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagi penjara di negeri yang berada di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat perjumpaan boleh dilaksanakan melalui dua pilihan iaitu secara e-mel jabatan (Icewarp) atau panggilan video dan bersemuka untuk pelawat yang lengkap divaksin.

"Seorang penghuni hanya dibenarkan untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada keluarga dan lawatan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat janji temu.

"Tempahan (pertemuan) boleh dibuat bermula hari ini sehingga 4 November melalui sistem i-Visit di laman web: www.prison.gov.my, panggilan telefon di institusi berkenaan dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan," menurut kenyataan itu.

Jabatan Penjara juga memaklumkan pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat dan masa perjumpaan tidak lebih 30 minit yang juga bergantung kepada situasi institusi penjara berkaitan.

"Hanya dua pelawat dibenarkan dalam kalangan keluarga yang ditetapkan oleh pihak penjara manakala pelawat warga emas yang berumur lebih 60 tahun, kebenaran yang diberi adalah bersyarat iaitu mesti dalam keadaan sihat dan tidak bergejala," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pelawat wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PPN Fasa Empat yang telah ditetapkan semasa perjumpaan dan kebenaran perjumpaan secara Icewarp atau panggilan video sahaja terpakai kepada penjara di negeri-negeri yang belum mencapai PPN Fasa Empat.

"Orang ramai boleh menghubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan maklumat institusi boleh didapati di www.prison.gov.my," menurut kenyataan itu. -Bernama

Artikel Berkaitan: