Lapor SPRM kes beli tanah bawah harga pasaran

Lokanathan
Lokanathan
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas ketua bahagian MIC Sungai Siput, M Lokanathan, hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pembelian tanah di Sungai Siput di bawah harga pasaran oleh bekas seorang pemimpin parti politik.

Beliau mendakwa, bahawa bekas pemimpin itu telah membeli tanah seluas 40.87 hektar (101 ekar) daripada sebuah koperasi perladangan pada 2005, kononnya hendak membina rumah untuk pemegang saham iaitu pekerja perladangan.

Beliau mendakwa, harga pasaran tanah itu ialah RM68,000 seekar namun bekas pemimpin parti politik itu telah membelinya pada harga jauh lebih murah iaitu RM11,000 seekar.

Bercakap kepada media di luar pekarangan SPRM hari ini, Lokanathan juga mendakwa pemilikan tanah itu kemudian telah ditukar nama kepada seorang ahli perniagaan bangsa Cina, dan sehingga kini tidak ada sebarang pembangunan rumah seperti yang dijanjikan di tanah tersebut.

Beliau berkata, tanah itu masih merupakan perladangan kelapa sawit yang mana koperasi perladangan perlu membayar hasil sawit antara RM30,000 hingga RM40,000 setiap bulan kepada ahli perniagaan itu.

Dalam laporan itu, Lokanathan turut mendakwa pemimpin politik itu telah menyalahgunakan kuasa dengan menukar hak milik sebuah dewan konvensyen dan satu lagi tanah parkir milik Koperasi Pekerja Jaya Bhd kepada ahli perniagaan yang sama.

"Kami mahu siasatan segera bagi menentukan sama ada lot tanah berkenaan digunakan untuk kepentingan awam atau kemungkinan wujud penyelewengan," katanya.

Lokanathan juga pernah membuat dua laporan SPRM berkaitan pemimpin politik itu sebelum ini iaitu pada 10 September 2016 dan 28 Februari 2017. - Bernama

Artikel Berkaitan: